Bantuan pelajar diagih Disember

TELUK KEMANG 15 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberitahu pemberian wang bantuan RM100 kepada 5.3 juta pelajar sekolah menengah dan rendah seperti diumumkan dalam Bajet 2012, akan disalurkan pada Disember ini.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas kerajaan menimbangkan bantuan tersebut perlu diberikan kepada ibu bapa atau keluarga pelajar terbabit sebelum sesi persekolahan bermula.

Untuk itu, katanya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan akan berbincang mencari kaedah sesuai bagi memastikan peruntukan kira-kira RM500 juta itu sampai kepada golongan sasar.

”Pada mesyuarat Kabinet semalam saya memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal sebegini kita minta satu kelonggaran supaya wang bantuan ini diberikan sebelum masuk tahun hadapan.

”Perkara ini bukan satu luar biasa walaupun kita tahu Bajet 2012 perlu dimulakan pada tahun depan. Pertimbangan kita berdasarkan pada kebiasaannya ibu bapa atau keluarga akan membeli kelengkapan persekolahan pada bulan Disember,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Kampung Paya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta pemimpin-pemimpin BN peringkat bahagian.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pemberian bantuan tersebut adalah dalam bentuk tunai dan ia akan dibayar di sekolah.

”Mekanisme yang terbaik adalah di sekolah kerana di sini (sekolah) mempunyai rekod yang lengkap mengenai setiap data pelajar. Dengan pemberian bantuan ini bermakna semua pelajar berhak menerima peruntukan itu tidak kira daripada kumpulan mana sekalipun,” katanya lagi.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, bantuan tersebut hanya untuk pelajar dalam sistem persekolahan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.

”Diharap pemberian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) ini akan dapat mengurangkan beban ibu bapa serta keluarga mereka terutama yang mempunyai ramai anak bersekolah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan cadangan mengenakan syarat 80 peratus kehadiran para pelajar sebelum dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, ini kerana pelajar-pelajar tersebut mempunyai sebab tertentu menyebabkan mereka tidak hadir ke sekolah dalam tempoh yang panjang antaranya menghadapi masalah kesihatan.

”Siapa sahaja yang berada di tingkatan lima berhak untuk menduduki SPM dan kita tidak boleh menghalang mereka. Lulus atau tidak itu terpulang kepada mereka tetapi mereka tetap boleh mengambil peperiksaan,” katanya.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.