PKS ‘4-5 bintang’ kini bersedia ke luar negara

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Kira-kira 1,200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang diberi penarafan empat hingga lima bintang kini bersedia berkembang ke luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Datuk Hafsah Hashim berkata, daripada jumlah 6,000 PKS yang dinilai hanya 1,200 yang dikira layak dan bersedia untuk mengembangkan operasi mereka ke luar negara.

Beliau berkata, SME Corp. bersedia untuk membawa PKS tersebut ke luar negara jika mereka bersedia untuk mengembangkan lagi perniagaan menerusi bantuan-bantuan yang ditawarkan oleh kementerian berkaitan dan agensi-agensi yang terbabit.

Namun begitu katanya, PKS yang tidak mendapat penarafan empat hingga lima bintang bukan faktor penghalang bagi mereka untuk terus maju kerana ada di antara yang mendapat penarafan tertinggi tidak bersedia dan selesa untuk beroperasi di dalam negara sahaja.

“Melalui insentif seperti akses kepada perolehan kerajaan, pembiayaan dan pemasaran melalui perolehan Polisi Laluan Hijau membantu mempercepatkan pertumbuhan PKS yang berpotensi di peringkat nasional, serantau dan global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MOU) antara SME Corp. dan Exim Bank di sini hari ini, yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Hadir menandatangani MoU itu ialah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank, Adissadikin Ali.

Menurut Hafsah, PKS yang layak mendapat manfaat daripada insentif Polisi laluan Hijau mesti mendapat pengesahan daripada Agensi Kerajaan yang terlibat.

Jelasnya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat adalah SME Corp. (melalui Persijilan 1-InnoCert), Malaysian Technology Development Corporation, Malaysian Biotechnology Corporation atau Multimedia Development Corporation.

Sementara itu, Exim Bank tidak menetapkan sebarang sasaran agihan untuk diberi kepada PKS yang layak bagi meningkatkan modal kerja atau bantuan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Adisaadikin berkata, pihaknya bersedia untuk menerima sebarang permohonan yang disokong oleh SME Corp. dan berharap PKS dapat menggunakan peluang yang ada bagi membesarkan lagi perusahaan mereka.
Sumber Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.