Katanya, kenyataan rasmi sudah dibuat dan bertitik tolak dari situ, aktor tampan itu lebih senang untuk tidak lagi berbincang mengenai kontroversi itu yang disifatkan sudah tutup buku.

Biar apa pun penerimaan masyarakat terhadap perkara yang berlaku, teraju utama drama sensasi Nur ini mengambil keputusan untuk menamatkannya dengan tidak memberikan sebarang komen lagi.

“Sebenarnya saya sudah tidak mahu memberikan komen memandangkan saya sudah pun memberikan kenyataan rasmi sebelum ini. Dengan kenyataan tersebut, saya, Syafiq Kyle meletakkan noktah dan tidak akan bercerita lagi mengenai isu itu,” jelasnya ringkas ketika ditemui dalam majlis tayangan eksklusif drama Pelangi Cinta baru-baru ini.

Usai menoktahkan perkara yang berlaku, Syafiq mengakui, kontroversi panas yang dilaluinya itu memberi seribu satu pengajaran kepadanya.

Namun di sebalik kemelut tersebut, yang dipelajarinya ialah kehidupannya semakin tenang.

“Alhamdulillah kehidupan saya sepanjang Ramadan ini berjalan dengan baik. Saya rasa banyak perkara saya belajar daripada perkara yang berlaku terutama apabila terjadi pada bulan puasa.

“Seperti orang lain juga, saya ingin memanfaatkan bulan mulia ini untuk membersihkan semua dosa. Sebenarnya itulah yang saya hajatkan setiap kali tiba Ramadan.

“Sama ada berjaya atau tidak, itu terpulang kepada diri kita sendiri. Yang saya harapkan, dengan izin Allah, saya mampu melaksanakannya,” ujar Syafiq berkongsi hasrat dan cita-cita murninya pada bulan penuh kemuliaan.

Dalam pada itu, jejaka berusia 26 tahun ini tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepadanya.

Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak yakin khalayak juga mengambil keberkatan Ramadan yang mulia ini untuk memandang perkara itu secara positif.

“Yang saya boleh katakan, saya bersyukur kerana masih ada orang yang menyokong apatah lagi pada bulan penuh rahmat ini. Mungkin mereka memandang dari sudut positif.

“Bagi saya, yang saya faham tentang bulan penuh kebaikan ini, itu jugalah yang mereka faham. Saya terharu dengan sokongan yang diberikan. Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua rakan artis yang sentiasa sokong dan memberikan nasihat yang sangat bernilai kepada saya.

“Begitu juga mereka yang bukan artis seperti peminat dan kawan-kawan saya yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat. Saya amat menghargainya. Terima kasih,” kata Syafiq menzahirkan penghargaan. – RUHAYA AB. HAMID

Masa untuk keluarga

MENJELANG sambutan Aidilfitri, sedikit sebanyak Syafiq mengakui, kisah panas yang melibatkan namanya sedikit sebanyak masih membelenggu kotak fikiran.

Namun pada masa sama, dia sangat yakin bahawa kontroversi itu tidak menjejas atau mengganggu sambutan Aidilfitri kali ini.

Sebaliknya, Syafiq sangat teruja untuk meluangkan kesempatan bercuti selama sebulan sempena lebaran yang akan diluangkan bersama-sama keluarga.

Bagi anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, Syawal ialah bulan yang paling sesuai baginya menghabiskan masa dan tenaga untuk keluarga.

“Saya tiada masalah tentang raya kerana tidak ada kena-mengena langsung dengan perkara yang berlaku kepada diri saya. Tahun ini saya akan beraya seperti biasa dengan keluarga di kampung.

“Sambutan raya kami sekeluarga juga tidak ada yang berbeza seperti tahun-tahun sebelum ini. Untuk diri sendiri, saya hanya membuat persiapan baju sahaja.

“Selebihnya, saya beri tumpuan kepada persediaan untuk keluarga,” kongsinya yang kini tampil dengan koleksi baju Melayu Kylez.RTW. – UTUSAN ONLINE