Sampul duit raya Awin bukan untuk pakai buang

Hasil karya Nordiana Nuzuin.

PETALING JAYA: Rekaan sampul duit raya hasil lukisan tangan yang berkonsepkan corak berbunga mendapat perhatian ramai terutamanya golongan muda sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Perekanya, Nordiana Nuzuin Akmar Nordin, 29, berkata koleksi sampul duit raya tersebut dihasilkan bertujuan untuk memenuhi kehendak masyarakat masa kini yang mementingkan gaya ‘fresh’.

“Ilham ini tercetus sebab pada pendapat saya, tema dan konsep sampul duit raya kebiasaannya tampak klise.

Malahan, zaman moden ini majoriti masyarakat mahukan kelainan dan sesuatu yang berwajah baharu,” katanya kepada Bernama.

Lebih disenangi dengan panggilan Awin, beliau turut berharap agar koleksi sampul duit rayanya mampu mengubah persepsi orang ramai terhadap kegunaan sampul duit raya serta menerapkan budaya menghargai setiap pemberian.

“Kita terbiasa ambil duit dalam sampul, kemudian sampulnya dibuang.Kita tidak menghargai setiap pemberian orang. Jadi saya cuba untuk mengubah budaya tersebut melalui rekaan ini.

“Saya nak orang simpan sampul duit raya supaya ia digunakan semula di kemudian hari seperti beri duit belanja bulanan kepada ibu bapa, sumbangan kenduri kahwin, simpan sebagai koleksi dan lain-lain,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan.

Ibu kepada seorang anak itu berkata sempena perayaan Aidilfitri tahun ini, koleksi sampul rayanya dilancarkan menerusi laman sesawang www.diananuzuin.com bermula 1 Jun dengan harga RM10 sepeket (10 keping).

“Syukur, Alhamdulillah. Saya tidak menyangka produk ini mendapat sambutan yang agak memuaskan dari segi permintaan dan maklum balas pelanggan. Dalam masa dua hari koleksi sampul raya ini habis terjual,” tambahnya.

Selain koleksi sampul raya, Awin turut menghasilkan rekaan seperti kalendar tahunan dan kad jemputan kahwin dan ‘door-gift’.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.