Telefon meletup punca kematian Nazrin

KUALA LUMPUR: Syarikat Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) mengesahkan laporan bedah siasat menunjukkan kematian Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nazrin Hassan, 47, berpunca daripada letupan telefon pintar.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu menyebut, hasil siasatan mendapati tubuh mangsa mempunyai pelbagai komplikasi kecederaan akibat letupan gajet itu, yang dicas bersebelahannya.

“Syarikat Cradle kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa besar dan inovatif. Sifat merendah dirinya memberi cetusan inspirasi kepada kami.

“Visi dan cita-citanya untuk berinovasi menjadi nadi kepada syarikat. Nazrin mempunyai minat yang tinggi terhadap pekerjaan ini, namun beliau juga tidak lupa dan sering mengutamakan isteri dan anak-anaknya.

“Bagaimanapun, pelbagai spekulasi timbul terhadap kematiannya. Kami harap orang ramai menghormati keluarganya pada waktu ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Cradle, Razif Aziz, berkata kematian Nazrin adalah satu kehilangan besar terhadap syarikat dan dunia teknologi.

“Beliau seorang yang cukup pintar, berwawasan dan juga individu luar biasa. Mereka yang berpeluang bekerja dengannya, kehilangan seorang kawan dan mentor kerana beliau adalah cetusan inspirasi,” katanya.

Ketua Pegawai Pelaburan Cradle, Juliana Jan, berkata pengalamannya bekerja bersama Nazrin tidak mungkin dilupakan.

“Beliau mempunyai visi dan semangat luar biasa yang bukan saja menjadi pemangkin kepada syarikat Cradle, tetapi juga permulaan terhadap ekosistem.

“Sebagai individu, beliau berjaya menyentuh jiwa dan memberi inspirasi terhadap kami, termasuk pelabur dan rakan niaga syarikat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Radiologi Hospital PUSRAWI Jalan Tun Razak, Dr Nafikudin Mahmud, berkata alat elektronik yang menggunakan tenaga bateri kering mudah panas dan berisiko untuk rosak.

“Aktiviti mengecas telefon pintar tampak normal, namun pengguna perlu prihatin dan teliti dengan barangan elektrik.

“Jika telefon pintar anda panas, elakkan daripada terus mengecas. Kita khuatir ia akan terbakar atau meletup.

“Justeru, caj telefon pintar di tempat terbuka dan elakkan daripada meletakkannya bersebelahan barang yang mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.