Ketika dihubungi penyampai radio Era FM, Radin Amir malam tadi, Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin memberitahu, dia dan bakal suami memilih tanggal 19 Ogos ini untuk bernikah, namun enggan mendedahkan gerangan lelaki berkenaan.

“Ya, memang betul saya akan bernikah pada Ahad ini. Bagaimanapun, kami tidak akan bertunang.

“Saya menyukainya kerana dia seorang yang misteri selain mempunyai sifat yang ceria dan baik hati,” katanya berkongsi cerita.

Terdahulu, Daiyan mengejutkan para pengikut di laman Instagram miliknya apabila memuat naik beberapa keping gambar dia mengenakan busana pernikahan, lantang mengundang pertanyaan peminatnya.

Apatah lagi, Daiyan sebelum ini langsung tidak pernah dikaitkan dengan sebarang gosip cinta. – UTUSAN ONLINE