Biasiswa MyBrainSc diperkenal tahun depan – Khaled Nordin

PUTRAJAYA 17 Okt. – Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkenalkan program biasiswa MyBrainSc bermula tahun depan untuk pelajar cemerlang yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang sains tulen.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebanyak RM9.5 juta diperuntukkan untuk program itu yang akan menggantikan Program Biasiswa Khas Tenaga Akademik, dengan 200 biasiswa termasuk 50 untuk pengajian di luar negara.

“Ia terbuka kepada pelajar cemerlang lepasan asasi, matrikulasi, program-program persediaan, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, lepasan diploma serta calon ijazah pertama yang cemerlang dalam bidang sains tulen dengan Purata Gred Nilai Kumulatif 3.75 ke atas.

“Program juga terbuka bagi yang sedang mengikuti ijazah kedoktoran atau telah mengikuti pengajian dalam bidang sains tulen di universiti dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu, di sini hari ini.

Khaled berkata penawaran biasiswa itu amat signifikan kerana biasiswa sedia ada seperti Jabatan Perkhidmatan Awam hanya memfokuskan kepada bidang profesional seperti perubatan, pergigian dan farmasi.

“Melalui biasiswa MyBrainSc ini, ia akan dapat meningkatkan bukan sahaja bilangan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi dalam bidang sains tulen seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik, “Tetapi juga memenuhi hasrat kita untuk meningkatkan bilangan RSE (Penyelidik, Saintis dan Jurutera) dalam negara kepada 100 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja dan melahirkan Nobel Laureate suatu masa nanti,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.