Harga saham dijangka turun

KUALA LUMPUR 16 Okt.— Bursa Malaysia dijangka menyaksikan penurunan sihat minggu depan, berundur ke paras sokongan 1,420 mata sebelum berada dalam aliran lebih tinggi bagi suku keempat yang secara rasionalnya positif, kata para peniaga.

Ketua Penyelidikan Runcit di Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan berkata, indeks itu matang bagi pengunduran, yang mana perlu oleh kerana pasaran terlebih belian dan paras ketahanan kecil dilihat pada paras 1,450.

“Kelemahan itu dilihat sebagai sihat walaupun hala tuju pasaran minggu depan dijangka tertumpu kepada kebimbangan terhadap pertumbuhan di China, penurunan gred penarafan hutang Sepanyol, pemerhatian negatif Fitch bagi banyak bank-bank utama dan laporan bahawa Deutsche Bank memerlukan 9 bilion pound untuk terus bertahan dengan ujian tekanan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Di pasaran tempatan, Nazri berkata, sebarang penurunan adalah peluang untuk membeli.

“Pada masa yang sama, akan terdapat banyak aliran berita positif tempatan untuk merangsangkan lagi kenaikan sekarang,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Teknikal Kanan TA Securities, Stephen Soo berkata, sekiranya jumlah dagangan pasaran kekal di atas satu bilion unit, atau kalau lebih baik pada 1.5 bilion unit, ia akan menjadi suatu yang positif bagi pasaran.

“Kami menjangka melihat petunjuk pasaran berada antara paras 1,420 dan 1,450 minggu depan,” katanya.

Dagangan tidak menentu, menguji keyakinan rapuh pelabur dalam keadaan krisis hutang zon euro.

Bagi asas minggu ke minggu, Indeks Kewangan naik 471.76 mata kepada 13,242.59, Indeks Perladangan meningkat 222.22 mata kepada 7,309.23 dan Indeks Perusahaan menokok 101.22 mata kepada 2,632.14.

Indeks FBM Emas menambah 327.27 mata kepada 9,801.53, FBMT100 meningkat 304.34 mata kepada 9,633.87, Indeks FBM Ace menokok 231.21 mata kepada 3,879.07 dan Indeks FBM70 naik 417.60 mata kepada 10,472.22.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 5.305 bilion saham bernilai RM6.485 bilion daripada 4.08 bilion saham bernilai RM6.17 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.943 bilion unit bernilai RM6.339 bilion daripada 3.16 bilion unit bernilai RM6.06 bilion sebelumnya.

Waran menokok kepada 691.914 juta saham bernilai RM50.001 juta daripada 301.66 juta saham bernilai RM24.82 juta pada Jumaat minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menambah kepada 1.963 juta unit bernilai RM87.073 juta daripada604.48 juta unit bernilai 75.55 juta pada minggu sebelumnya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.