Kerajaan kaji kawasan sesuai bina lebih banyak PR1MA

ALOR SETAR 16 Okt. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji kawasan-kawasan yang bersesuaian untuk dibina rumah-rumah kos rendah di seluruh negara melalui Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, berdasarkan kajian oleh pihaknya, terdapat kira-kira 90,000 keluarga yang memerlukan rumah untuk dijadikan tempat berlindung.

“Oleh itu, kerajaan sedang melihat kawasan-kawasan yang sesuai untuk membina rumah kos rendah melalui program PR1MA.

“Dengan cara ini, lebih ramai rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan memiliki rumah sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek peruntukan dan bantuan kecemasan Ahli Parlimen Alor Setar, di sini hari ini.

Sebanyak 80 penerima bantuan terdiri daripada pesakit kronik, orang kelainan upaya (OKU), mangsa ribut dan sebagainya menerima bantuan yang berjumlah RM211,154.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan akan memperbanyakkan lagi projek perumahan mampu milik dalam tempoh terdekat setelah menunaikan janjinya melakukan proses cabutan fasa pertama 560 unit pangsapuri PR1MA di Putrajaya.

Najib berkata, kerajaan akan menunaikan kehendak golongan itu untuk memiliki rumah sendiri bagi menyemai perasaan pemilikan hartanah yang lebih erat kepada negara.

Chee Heung memberitahu, buat masa ini, rumah kos rendah itu akan dibina di Wilayah Persekutuan dan Pahang.

“Di Selangor dan Sabah, rumah-rumah yang akan dibina oleh kerajaan bakal dijadikan rumah sewa dengan kadar sewa serendah RM124 sebulan.

“Kita akan utamakan kawasan-kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan penduduk bagi membina rumah-rumah tersebut,” katanya.

Katanya, walaupun rumah itu adalah rumah kos rendah tetapi ia berkualiti dengan keluasan kira-kira 700 kaki persegi serta lengkap dengan kemudahan seperti surau, kedai dan tempat meletak kenderaan.

“Memandangkan hasrat kerajaan untuk melihat semua rakyat memiliki rumah sendiri, kita sedang mencari pendekatan bagi membina rumah kos rendah yang akan dijual dengan harga disubsidikan oleh kerajaan,” ujarnya.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.