Walaupun di bumi asing sekalipun, tanpa ibu bapa serta ahli keluarga lain, wanita ini tetap akan menikmati keindahan Syawal dengan caranya sendiri. Mencari keseronokan bersama suami, Daud Leroy, 51, serta tiga anak lelaki, Aaron, 22, Ryan, 15, dan Justin, 13, adalah keutamaannya saban tahun.

Cukup-cukuplah pengalaman momen sepi di pagi Syawal selepas berhijrah ke Perancis yang dilalui selepas berkahwin pada 1994. Saat itu sangat mendukacitakan. Bertitik-tolak dari situ juga, Azah nekad untuk merancang aktiviti agar lebaran lebih bermakna lagi pada masa mendatang.

“Kali pertama saya menyambut Syawal di perantauan, memang rasa sepi sangat. Tak seronok sebab kita hanya seorang saja yang faham apa erti sambutan lebaran yang sebenar. Kemeriahan sambutannya yang macam mana sewaktu di tanah air.

“Lebaran di Perancis tak seberapa sebab saya tak kenal orang. Saya pernah menetap sekejap di London, keadaannya pun sama. Tapi apabila berpindah ke Montreal, keadaan bertukar. Setiap tahun saya berjumpa dengan kenalan baharu. Kini dah 18 tahun beraya di sini, bertambah meriah raya saya,” cerita Azah.

Montreal merupakan bandar raya yang dikenali sebagai kota berbilang kaum dan budaya. Sebut sahaja apa bangsa di dunia ini, semuanya ada di Montreal. Kenalan rapat Azah pula terdiri perantau yang berasal dari tanah air, Singapura dan Indonesia.

Oleh itu, hidangan juadah raya seperti ketupat, rendang dan kuah kacang tetap pilihan walaupun di luar negara. Mereka tetap tidak mahu ketinggalan untuk merayakan lebaran sama hebat seperti di tanah air masing-masing.

“Sepanjang menjadi perantau, memakai baju sedondon untuk seisi keluarga bukan keutamaan. Kita beraya dengan seminimum mungkin. Bangun-bangun pagi Syawal, saya dah minta maaf pada suami, anak-anak pun sama. Selepas itu buat kerja macam biasa.

“Yang istimewa, saya akan masak juadah lain dari lain. Ada kuah kacang, ketupat dan lauk-pauk seperti rendang ayam. Semua bahan masakan ini sudah diperoleh awal-awal dari Malaysia. Saya minta tolong kakak belikan dalam bentuk peket segera,” katanya yang tetap menyarung baju raya di pagi 1 Syawal.

Tunggu dua tahun lagi

MENGAKUI sentiasa merindui kemeriahan perayaan Aidilfitri di Malaysia, Azah sekeluarga merancang untuk pulang ke tanah air meraikan bersama ahli keluarganya yang lain dalam tempoh dua tahun lagi.

Bagaimanapun perkara tersebut masih dalam perbincangan lanjut bersama suami. Tujuannya dia mahu kesemua anak-anaknya itu mengenali lebih mendalam budaya dan amalan lebaran masyarakat Melayu.

“Kali terakhir pulang beraya ke tanah air pada dua tahun lalu. Masa itu, saya membawa bersama Justin. Anak bongsu saya itu memang nampak sangat teruja. Dia nak jadi orang pertama yang menghulurkan salam dan mendapat duit raya daripada saya.

“Justin juga tak mengeluh jika saya bawa dia ziarah adik-beradik, saudara mara dan rakan-rakan saya di Kuala Lumpur. Agaknya dia tahu, kalau pergi ke rumah orang dia dapat duit raya agaknya,” kata Azah yang pernah membintangi slot Idaman musim pertama di Astro Ria satu waktu dahulu.

Kali terakhir Azah pulang ke tanah air bersama anak sulungnya, Aaron sekitar pertengahan April lalu. Pada kesempatan itu, Azah turut membuat sedikit persiapan raya untuk keperluan keluarganya di Montreal.- UTUSAN ONLINE