Dokumen dari London ‘senjata utama’ Sarawak

MENTERI Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. – Foto Jeakqleyn Yacho

KUCHING: Kerajaan negeri bersiap sedia menggunakan ‘senjata utama’ berbentuk dokumen penting berkaitan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diperoleh ketika delegasi kerajaan negeri berkunjung ke London, United Kingdom, Julai tahun lalu.

Dokumen yang enggan didedahkan secara terperinci kandungannya itu begitu penting untuk digunakan dalam penghujahan sama ada Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 masih boleh diterima pakai dalam pengurusan sumber minyak dan gas di perairan negeri ini.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata pasukan perundangan sudah bersedia sepenuhnya berdepan dengan isu dibawa PETRONAS, pada 21 Jun ini, di Mahkamah Persekutuan.

“Dokumen dari London banyak membantu, semuanya adalah asli dan semua dokumen yang kita bawa balik ini akan digunakan sepenuhnya sebagai bukti yang diperlukan di mahkamah nanti.

“Oleh itu, kita yakin dapat menang dalam perjuangan mempertahankan hak eksklusif minyak dan gas Sarawak dan ini adalah pendirian kerajaan negeri,” katanya selepas ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini semalam.

Bagaimanapun, Hasidah berkata apa-apa tindakan yang akan diambil kerajaan negeri adalah bergantung kepada keputusan proses pendengaran isu berkenaan yang dijadualkan pada 12 Jun di Mahkamah Persekutuan, namun ditangguhkan kepada tarikh baharu, 21 Jun ini.

“Kita tunggu dan lihat apa keputusan mahkamah pada 21 Jun depan sama ada mereka membenarkan permohonan PETRONAS atau sebaliknya…dan dari situ, kita lihat apa tindakan selanjutnya yang akan diambil,” katanya.

Pada 4 Jun lalu, Syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS, memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai PDA sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.