Jerman ‘bermain sangat teruk’ – Loew

MOSCOW: Jurulatih Jerman, Joachim Loew mengakui juara bertahan Piala Dunia itu terpaksa membayar persembahan buruk pada babak pertama dengan kekalahan 0-1 kepada Mexico, awal pagi tadi.

Hirving Lozano menjaringkan satu-satunya gol selepas 35 minit di Moscow apabila Jerman tewas perlawanan pembukaan di Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun.

“Dalam babak pertama kami bermain sangat teruk,” kata Loew.

“Kami tidak dapat bermain seperti biasa, serangan kami dan hantaran tidak menjadi.”

“Pada babak kedua, kami lebih memberi tekanan tetapi Mexico kembali bangkit,” katanya.

PEMAIN Mexico, Rafael Marquez (tengah) mengasak kubu Jerman yang dikawal penjaga gol Germany, Manuel Neuer (kanan) dan pemain pertahanan Jerome Boateng, awal pagi tadi. – Foto AFP

“Kami mempunyai beberapa percubaan di gawang tetapi seperti terkena sumpahan, bola kami tidak masuk dan kadang kala kami tidak dapat mencari penamat.

“Esok kami perlu terus pandang ke hadapan dan melupakan perkara ini.”

Jerman tidak pernah gagal untuk melepasi pusingan kumpulan pada Piala Dunia tetapi pasukan Loew mestilah bangkit semula untuk bersedia dalam perlawanan akan datang bertemu Sweden pada 23 Jun ini di Sochi.

“Ia mengecewakan apabila tewas dalam perlawanan pertama. Ia adalah situasi di mana kami tidak biasa langsung. Dalam banyak kejohanan terdahulu kami selalu menang perlawanan pertama tetapi kami perlu menerimanya,” kata Loew.

“Selalu akan ada halangan untuk diatasi dan kami perlukan cari penyelesaian dan melakukan lebih baik pada perlawanan akan datang.” – AFP/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.