Sumbat mayat dalam kotak

KUALA LUMPUR: Culik, bunuh, sumbat dalam kotak dan buang dalam sungai. Itu tindakan kejam dua lelaki warga Pakistan terhadap rakan senegara mereka.

Mayat mangsa yang sudah reput ditemui di dalam sungai berdekatan Taman Perindustrian Kepong, Bandar Sri Damansara, kira-kira jam 6 petang semalam. Mangsa kali terakhir dilihat keluar dari rumah pada 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata pada 12 Ogos, adik mangsa yang berusia 27 tahun menerima panggilan daripada dua lelaki Pakistan yang tidak dikenali meminta wang berjumlah RM100,000.

“Mangsa yang bekerja sebagai penjual jam dan aksesori, keluar dari rumah sewa di Lorong Sentul Kecil, Sentul, pada 11 Ogos lalu.

“Keesokannya, adik mangsa menerima panggilan daripada dua lelaki memintanya menyerahkan wang berjumlah RM100,000 dan memaklumkan mangsa ada bersama mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, adik mangsa yang bekerja sebagai pekerja kontrak bercakap di talian dengan suspek kira-kira dua minit dalam Bahasa Urdu sebelum talian dimatikan.

“Lelaki berkenaan memaklumkan supaya tidak perlu membuat laporan polis selain akan menghubunginya semula selepas 24 jam. Bagaimanapun, sehingga petang semalam mangsa tidak pulang,” katanya.

Munusamy berkata, bertindak atas laporan yang dibuat adik mangsa, pihaknya berjaya mengesan dan menahan tiga lelaki dipercayai suspek dalam kejadian ini jam 6 petang semalam.

“Pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sentul menahan dua lelaki Pakistan dan seorang lelaki warga Myanmar. Soal siasat mendapati dua warga Pakistan itu mengaku membunuh mangsa pada 15 Ogos lalu.

“Mereka kemudiannya memasukkan mayat ke dalam kotak dan mengikatnya menggunakan tali sebelum membuang mayat ke sungai. Dengan dipandu suspek, pihak kami berjaya menemui mayat mangsa,” katanya.

Menurutnya, kes yang sebelumnya disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan ditukar ke Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.