Perangkap wanita sunyi

Kuala Lumpur: Muflis akibat mengejar cinta sejati. Itu dialami wanita tempatan yang sanggup kehilangan RM83.6 juta sepanjang lapan bulan pertama ini di tangan kekasih siber.

Jumlah kerugian ini cukup besar dan membuktikan cinta membuat wanita sanggup berkorban apa saja hingga menyerahkan wang ringgit tanpa menyiasat sepenuhnya latar belakang lelaki dikenali.

Meskipun kerap diberi pendedahan dan kesedaran mengenai kegiatan serta taktik sindiket Love Scam namun majoriti golongan wanita terus menjadi mangsa.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)Bukit Aman Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, berdasarkan statistik, jumlah kes membabitkan kegiatan itu terus mencatatkan peningkatan membimbangkan.

“Pada 2017, sebanyak 1,652 kes Love Scam dilaporkan dengan kerugian RM61.9 juta di seluruh negara. Bagaimanapun, jumlah kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu menunjukkan angka membimbangkan apabila mencatatkan 1,301 kes dengan kerugian RM83.6 juta.

“Angka kes yang dilaporkan bagi tempoh lapan bulan tahun ini amat menggusarkan terutama jumlah kerugian direkodkan semakin meningkat meskipun jumlah kes diterima masih rendah berbanding tahun lalu,” katanya.

Ahmad Noordin berkata, sindiket Love Scam masih menggunakan modus operandi sama seperti sebelum ini iaitu berkenalan melalui media sosial dengan berbekalkan ayat cinta bagi mengumpan mangsa.

“Kebanyakan mangsa sindiket ini membabitkan golongan wanita yang memiliki karier profesional mahupun suri rumah. Pemilihan mangsa secara rawak, namun kebanyakan mereka adalah wanita kesunyian.

“Sindiket bijak menggunakan kata-kata bagi memperoleh kepercayaan mangsa sebelum diarah untuk memberikan wang sama ada secara terus atau melalui panggilan telefon daripada individu lain yang kononnya mahu memberi bungkusan, namun barangan itu berada dalam tahanan pihak berkuasa sebelum diminta membuat pembayaran,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta tidak mudah percaya dengan individu yang dikenali melalui media sosial untuk menyerahkan wang, apatah lagi mereka tidak pernah berjumpa.

“Apabila individu dikenali melalui media sosial meminta wang, orang ramai perlu lebih peka dan tidak bertindak memindahkan wang seperti diarahkan. Selidik terlebih dulu latar belakang individu berkenaan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket love scam.

“Mereka yang pernah berdepan situasi seperti mangsa love scam diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan termasuk individu yang memberikan akses kad ATM kepada individu dikenali media sosial,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.