PBSMM Siap Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir, Tubuh ‘Rapid Deployment Squad’

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku bencana banjir sepanjang musim tengkujuh dengan menubuhkan ‘Rapid Deployment Squad’ di setiap negeri seluruh negara.

Naib Pengerusi Kebangsaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana PBSM Datuk Wira Dr Bahari Abu Mansor berkata skuad itu akan disertai 20 anggota dan diberikan kursus untuk menghadapi bencana termasuk aspek keselamatan dan kemahiran.

Beliau berkata mereka yang terlatih itu akan pergi ke kawasan bencana untuk memberikan bantuan kepada mangsa selain membantu kerajaan menangani bencana.

“Malah mereka juga boleh memasak untuk 500 orang dalam masa sejam,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata PBSMM turut mengeluarkan amaran banjir kepada setiap jawatankuasa negeri sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi bencana itu.

Dalam pada itu, Dr Bahari berkata PBSMM memerlukan bot dan ambulans baru bagi menggantikan bot dan ambulans yang telah uzur.

“Setakat ini di ibu pejabat, PBSMM mempunyai 25 buah ambulans dan lima bot untuk kegunaan di seluruh negara malah ada juga sesetengah daripada kenderaan ini berusia lebih dari 20 tahun,” katanya.

Oleh itu beliau berharap mana-mana badan korporat di negara ini agar menyalurkan bantuan dengan menyumbangkan ambulans dan bot bagi menampung keperluan PBSMM dalam usaha menyelamat.

“Sebagai badan sukarela, kami amat memerlukan sumbangan daripada badan korporat termasuk dalam bentuk kewangan bagi membolehkan PBSMM membeli ambulans baru menggunakan wang sumbangan itu,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.