Tiga maut, memotong tak lepas

GUA MUSANG 19 Jun – Tiga sekeluarga maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 55, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, semalam.

Dalam kejadian pukul 5 petang, penumpang hadapan Proton Saga, Ibrahim Mat Rifin, 61, bersama isterinya, Mahani Mohd. Nasir, 58, dan anak perempuannya, Rosinani, 35, meninggal dunia.

Seorang lagi anak perempuan mangsa, Nur Farain, 26, yang memandu kenderaan terbabit turut cedera parah.

Tiga lagi mangsa lelaki yang menaiki kenderaan Proton Wira yang mengalami kecederaan ialah pemandunya, Mohamad Faris Junuh, 22, Muhamad Nurazman Nordin, 19, dan Mohamad Izwan Mohd. Zulkifli, 21.

Kesemua tiga lelaki itu berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah RKT Paloh 1 di sini.

Manakala, empat sekeluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Pahang.

Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga yang dipandu Nur Farain yang datang dari arah Kuala Krai ke Gua Musang secara tiba-tiba telah memotong kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kereta itu berlanggar secara berhadapan dengan sebuah lagi kenderaan Proton Wira yang datang dari arah Gua Musang.

Katanya, akibat kejadian itu, sepasang suami isteri telah meninggal di lokasi kejadian, manakala seorang lagi anak perempuannya meninggal di Hospital Gua Musang selepas 12 jam kemalangan.

“Anak perempuan mangsa meninggal dunia kira-kira 5.15 pagi ini di hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan dan proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.