Yakinkan Pelabur Hati Hati Buat Kenyataan- Anwar

KUALA LUMPUR 19 Jun – Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya lebih sensitif dan berhati-hati ketika memberi kenyataan kerana dibimbangkan boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing ke negara ini.

Jelas Anwar, sebagai Menteri Kewangan, Guan Eng seharusnya mengimbangi antara kepentingan untuk meyakinkan pelabur dan kepentingan untuk membongkar penipuan.

“Saya ada bertemu dengan beliau dan mengatakan Menteri Kewangan statusnya lebih sensitif, kenyataannya itu terus merujuk kepada pelabur, oleh demikian dia perlulah lebih berhati-hati.

“Tetapi dalam keadaan sekarang Menteri Kewangan juga bertanggungjawab untuk menyebut tentang bentuk perjanjian, membongkar beberapa penipuan, jadi ini dari segi pelabur, jadi dia kena imbangi lah kepentingan meyakinkan dan kepentingan untuk membongkar,” katanya dalam rakaman program wawancara AI terbitan Astro Awani yang bakal disiarkan Khamis ini pada pukul 8.15 malam.

Tambah Anwar, bagi tujuan membongkar, Guan Eng boleh meminta seorang atau dua menteri lain atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjelaskannya.

“Jadi beliau boleh mula menumpu keadaan supaya mententeramkan pelabur dan memberikan keyakinan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.