Polis masih cari saksi rempuhan bas Rapid KL

KEADAAN kenderaan yang dirempuh sebuah bas Rapid KL dari Kampung Keramat menghala ke MRR2 Khamis lalu. – Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor sedang mengesan beberapa saksi kejadian bagi membantu siasatan kes pemandu bas Rapid KL merempuh tujuh kenderaan di AU2 Keramat dan Jalan Ampang, Khamis lalu.

Ketua JSPT Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata keterangan saksi itu diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

“Kita masih mengesan beberapa orang lagi, keterangan mereka akan diambil bagi melengkapkan siasatan.

“Selain itu kita juga akan merakam keterangan pemandu bas terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden berkenaan.

“Kita di Dang Wangi tidak menerima sebarang laporan berhubung orang awam yang didakwa memukul pemandu bas terbabit, perlu periksa dengan daerah lain jika ada.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan, kita akan mempercepatkan proses ujian air kencing untuk dihantar ke makmal forensik, jika positif kita akan tuduh dia terbabit dengan dadah,” katanya.

Khamis lalu, tujuh kereta dilanggar bas Rapid KL yang dalam perjalanan dari Datuk Keramat menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Kejadian berkenaan viral di laman sosial berikutan paparan video sepanjang 1 minit 40 saat menunjukkan bas berkenaan dipandu dengan laju apabila dikejar penunggang motosikal.-BH.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.