Jamin tiada ketegangan agama

PETALING JAYA 18 Okt. – Himpunan Sejuta Umat (Himpun) pada Sabtu ini dijamin tidak akan menimbulkan ketegangan antara agama kerana matlamatnya semata-mata mempertahankan akidah umat Islam di negara ini.

Pengerusi Bersama Himpun, Dr. Yusri Mohamad berkata, perhimpunan tersebut turut bebas daripada sebarang agenda politik sempit yang bertujuan menyerang mana-mana pihak.

“Kemungkaran (murtad) ini merupakan tangga teratas yang diletakkan oleh Islam. Allah amat membenci tindakan itu kerana ia menafikan ketuhanan-Nya, menolak kenabian para anbia dan menafikan kebenaran agama Islam secara keseluruhannya.

“Inilah yang kami tumpukan. Justeru kami yakin bahawa agenda ini perlu didokong semua pihak tanpa mengira perbezaan fahaman politik, malahan orang bukan Islam juga dijemput hadir menyaksikan usaha murni kami ini.

“Ini kerana, virus murtad ini berpotensi untuk mengganggu-gugat keharmonian, ketenteraman dan kemakmuran kita semua sebagai anggota masyarakat di negara ini tanpa mengira agama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Himpun, Aminuddin Yahaya.

Jelas Yusri, perhimpunan yang menjadi fardu kifayah ini dapat dijadikan platform buat umat Islam menyalurkan emosi mereka yang positif terhadap usaha-usaha melindungi kedaulatan agama suci itu.

Ditanya kritikan yang dibuat oleh Islamic Renaissance Front (IRF) yang bimbang perhimpunan itu akan memberi gambaran salah dan buruk tentang Islam, beliau mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berbincang dahulu dengan pihaknya sebelum membuat sebarang andaian liar.

“Kami sememangnya agresif memperjuangkan kemurnian agama Islam namun ia bukannya tanpa sempadan dan bertujuan mengecam mana-mana kumpulan, individu atau sebagainya,” ujarnya.

Pihaknya turut menerima penyertaan Pemuda Pas pagi tadi dan menjangkakan lebih banyak penglibatan daripada NGO keislaman sebelum perhimpunan itu dilangsungkan kelak.

Sementara itu, turut mengesahkan penyertaan hari ini, Gabungan Penasyid Malaysia (Munsyid) yang menaungi lebih 60 artis nasyid seluruh negara termasuk Hijjaz dan UNIC.

Penasihatnya, Sohibul Fadil Sabikin berkata, penglibatan Munsyid bukan sekadar penyeri perhimpunan itu semata-mata, tetapi komited mempromosikannya melalui saluran media, serta menggembleng kelab-kelab peminat nasyid untuk menyertai perhimpunan tersebut.

“Peranan Munsyid ini diharap memberi kesan terhadap masyarakat, khususnya dalam menimbulkan kesedaran dan rasa prihatin dalam kalangan umat Islam terhadap isu-isu penting sebegini,” jelas beliau.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.