TUMPU BIDANG-BIDANG KEBERHASILAN UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT – NAJIB

PUTRAJAYA, 20 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan penjawat awam untuk memberi tumpuan kepada bidang-bidang keberhasilan yang ditentukan kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Antara bidang keberhasilan yang perlu diberi fokus termasuk pengangkutan awam, perumahan dan kos sara hidup bagi memastikan masa depan negara yang cemerlang, katanya.

“Kita mesti memberi keutamaan dan kita jangan hilang fokus. Apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk rakyat dan keutamaan pada rakyat.

“Rakyat hendaklah dijadikan sebagai tiang seri tonggak kepada semua dasar kerajaan,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2016 di sini hari ini.

Kira-kira 3,000 warga jabatan dan agensi di bawah JPM menghadiri majlis bertemakan ‘Syawal@JPM: Disini Kasih Bersemi”.

Hadir sama ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif seperti projek sambungan Aliran Transit Ringan (LRT) yang dilancarkan baru-baru ini dan Aliran Transit Massa (MRT) yang bakal dilancarkan hujung tahun ini serta Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang diumumkan semalam akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Inilah gambaran Malaysia yang bertambah maju,” katanya.

Pada masa yang sama, Najib meminta penjawat awam agar bersama-sama menjaga keselamatan negara yang menjadi cabaran besar kepada negara ketika ini.

Mengenai majlis sambutan Aidilfitri JPM hari ini, beliau berkata majlis yang dihadiri semua anggota jemaah menteri merupakan cerminan penghargaan kerajaan terhadap penjawat awam, khususnya warga JPM.

“Saya juga mengganggap ini sebagai satu peluang bagi kita mengukuhkan hubungan. Kakitangan di JPM merupakan mereka yang akan menterjemahkan dasar-dasar kerajaan dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan yang berkesan bagi memenuhi semua objektif dan matlamat dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan bantuan zakat Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM3.82 juta yang akan disalurkan kepada 25,500 penerima bantuan kewangan bulanan Baitulmal MAIWP yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf di Wilayah Persekutuan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.