Sama ada dalam keadaan sedar atau tidak, Guan Eng me­ngakui GST adalah lebih telus berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau juga tidak menafikan pelaksanaan SST yang dijangka bermula 1 September ini akan turut memberi impak kepada pengguna.

“Kita tidak dapat nafikan hakikatnya, kalau sebut yang mana lebih telus tentunya GST lebih telus tetapi apabila sebut GST lebih telus maknanya GST boleh kutip lebih banyak cukai dengan luas dan mempunyai kesan ke atas rakyat.

“Sedangkan SST sungguhpun tidak setelus dan efisien GST, namun kesan kepada rakyat khususnya pengguna akhir dan rak­yat biasa adalah kurang, itulah yang kita beri tumpuan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta Kementerian Kewangan mengulas mengenai ketelusan pelaksanaan SST.

Ahmad mempersoalkan ke­telusan SST apabila jumlah cukai dikenakan tidak dipamerkan pada resit berbanding GST sebelum ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada harga barang akan naik atau tidak, Guan Eng berkata, SST hanya dikenakan pada satu pe­ringkat iaitu terhadap pengilang.

Justeru jelasnya, kesan SST kepada rakyat adalah kurang berbanding GST.

Tambah beliau, jumlah kutipan SST adalah RM21 bilion setahun berbanding kutipan GST sebanyak RM44 bilion setahun.- Utusan Online