Kastam nafi kenderaan penumpang tiada SST

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  menjelaskan bahawa kenderaan penumpang sememangnya dicadang dikenakan cukai jualan tetapi terdapat pihak yang telah salah tafsir senarai yang dimuat naik dalam laman web jabatan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam berkata barang yang dikecualikan daripada cukai jualan dalam senarai tersebut hanya merujuk kepada komponen yang terurai (CKD) bagi pemasangan kenderaan penumpang  sahaja.

“Apabila kenderaan siap dipasang daripada komponen CKD yang diimport tadi, kenderaan yang telah siap tersebut adalah tertakluk kepada cukai jualan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

JKDM telah memuat  naik cadangan barangan yang dikecualikan daripada cukai jualan hari ini.

Barangan ini dirujuk kepada kod tarif yang dicadangkan untuk dikecualikan daripada cukai jualan semasa  pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018.

Susulan daripada senarai yang dimuat naik itu, berita berkaitan kenderaan penumpang bermotor tidak dikenakan cukai jualan telah tersebar luas.

“Dengan penjelasan ini, JKDM berharap isu ini selesai dan tidak mengelirukan rakyat dan pengguna,” kata Subromaniam.– -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.