Bantahan ke atas Nasi Lemak 2.0

KLANG 16 Sept – Pihak yang tidak berpuas hati dengan penayangan filem Nasi Lemak 2.0 arahan individu yang pernah mencetuskan kontroversi, Namewee, boleh mengemukakan bantahan mereka kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Menteri kementerian berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, bantahan boleh dibuat kepada pihaknya untuk dinilai memandangkan kementerian itu turut bertanggungjawab dari segi penapisan filem melalui Bahagian Kawalan Filem KDN.

“Sekiranya ada perkara yang tidak kena boleh kemukakan kepada kita untuk penilaian dan kajian kerana ia memang bawah KDN pun,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN) Kapar di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas bantahan Pertubuhan Gagasan Rakyat Didahulukan Negeri Perak terhadap penayangan filem itu, yang dikhuatiri memberi kesan negatif kepada golongan muda.

Presidennya, Faizal Affendi Hashim berkata, pihaknya terkilan kerana filem berkenaan ditayangkan sedangkan penerbitnya pernah mencetuskan isu yang tidak boleh diterima rakyat Malaysia iaitu menerbitkan video klip `Negarakuku” yang menghina lagi kebangsaan dan masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai perkara itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.