MAS Dan AirAsia Tumpu Kepada Bidang Teras, Kata Fernandes

Oleh M. Saraswathi
KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Pertumbuhan berterusan masing-masing sebagai syarikat penerbangan utama dan syarikat penerbangan tambang murah, akan menjadi keputusan penting kerjasama antara Malaysia Airlines (MAS) dengan AirAsia, kata Tan Sri Tony Fernandes.

“Banyak perniagaan yang diceburi (oleh MAS) sebelum ini memberikan pulangan yang agak rendah. Ia cuba melakukan terlalu banyak perkara, tawaran perkhidmatan tambang murah di samping kelas satu, perniagaan dan ekonomi. Ia juga menceburi kegiatan penyenggaraan, baik pulih dan rombak rawat, dan penyajian, yang merupakan perniagaan yang berasingan,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama Isnin.

Merujuk kepada cadangan pertukaran saham antara MAS dengan AirAsia yang diumumkan beberapa minggu lalu, Fernandes melenyapkan spekulasi yang mengatakan ia akan berkesudahan dengan penggabungan antara kedua-dua syarikat penerbangan itu.

“Saya tidak percaya pada penggabungan. Ia sama seperti apa yang kami lakukan bagi AirAsia dan AirAsia X, kami pisahkan kedua-duanya (dan biarkan kedua-duanya memberikan tumpuan kepada perniagaan masing-masing).

“Rahsianya ialah terus memberikan tumpuan kepada kekuatan masing-masing, dan formula yang sama harus digunakan bagi MAS,” katanya.

Ada banyak pihak yang menyuarakan kebimbangan tentang faedah-faedah perjanjian sedemikian apabila Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham utama MAS, mengumumkan ia akan membeli 10 peratus kepentingan dalam AirAsia manakala Tune Air Sdn Bhd, syarikat pelaburan Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun, akan memiliki 20.5 peratus kepentingan dalam MAS di bawah perjanjian pertukaran saham itu.

Ada juga yang membayangkan bahawa perjanjian itu lebih memberikan manfaat kepada AirAsia daripada MAS.

“Mengapa harus ada yang menang dan yang kalah, mengapa tidak boleh ada dua pemenang?” tanya Fernandes, sambil menambah pada umumnya, rakyat Malaysia lebih positif tentang perkara-perkara sebegini, tetapi dalam soal ini, beberapa pihak membuat kenyataan bagi faedah masing-masing.

Beliau berkata keseluruhan tujuan kerjasama itu ialah untuk menjadikan kedua-dua syarikat Malaysia itu lebih kukuh disebabkan oleh persaingan yang sengit dalam pasaran, meningkatkan nilai pemegang saham dan memastikan kebajikan pekerja kedua-duanya terpelihara melalui pendapatan yang lebih baik.

“Beberapa syarikat meraih faedah daripada pertelingkahan kedua-dua syarikat kita,” katanya tanpa menamakan syarikat-syarikat itu.

Dengan nada penuh yakin terhadap kolaborasi ini, beliau berkata MAS dan AirAsia boleh meningkatkan kecekapan melalui penjimatan kos.

“Kakitangan kami masih di tempat yang sama. Perlukah kami mempunyai dua pejabat atau kakitangan daftar masuk yang berasingan?” tanya beliau.

Fernandes berkata MAS harus memberikan tumpuan kepada kekuatan terasnya, memandangkan ia telah bertahun-tahun memenangi Anugerah Anak kapal Kabin Terbaik secara berterusan.

“Itu adalah perkhidmatan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” tegasnya.

MAS, katanya, haruslah menawarkan produk yang sesuai, yang menarik kepada pasaran, dan dalam kes ini, perkhidmatan premium, manakala mereka yang sukakan perjalanan tambang murah boleh memilih AirAsia.

Bagi masa depan, kata Fernandes, ia akan menyerahkan kepada MAS untuk membuat perubahan-perubahan dan beliau positif tentang apa yang boleh dilakukan oleh ketua pegawai eksekutif baharu MAS, Ahmad Jauhari Yusof, dalam syarikat itu.

“Beliau seorang yang hebat. Merendah diri, pintar serta sanggup bekerja keras, dan beliau akan dapat melakukan perubahan. Pasukan (di MAS) kuat. Kita tunggu dan lihat,” kata beliau.

Fernandes berkata kerjasama antara MAS dengan AirAsia juga bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebuah hab penerbangan di Tenggara Asia dan mengembalikan sebahagian daripada trafik dari Singapura.

“Saya mahu orang melihat gambaran yang lebih besar dan memberikan kami sokongan untuk menghadapi pesaing-pesaing global,” katanya.

Mengenai persaingan, beliau berkata bagi AirAsia, wujud persaingan daripada Lion Air, Cebu Pacific dan Tiger Airways.

“Ada banyak persaingan dan kita perlu bersedia bagi menghadapi arus globalisasi dan dasar langit terbuka,” tegas beliau.

Fernandes berkata kerjasama antara MAS dan AirAsia perlu diberikan sedikit masa sebelum hasil positif dapat dilihat dalam dua suku akan datang susulan daripada tumpuan perniagaan yang lebih baik.

Beliau menegaskan bahawa rekod kewangan AirAsia yang kukuh adalah hasil daripada tumpuan yang diberikan kepada bidang kepakarannya dalam perniagaan ini.

Merujuk kepada iklan jersi oleh MAS dan AirAsia dengan kelab Liga Perdana England, Kelab Bola Sepak Queens Park Rangers (QPR), beliau berkata ia bertujuan membina jenama.

“Kalau kita lihat banyak suratkhabar di Britain semalam, gambar (ketua pasukan QPR), Joey Barton dan MAS tersebar di merata-rata,” kata Fernandes yang kelihatan gembira ketika menjawab soalan sama ada berbaloi bagi MAS membelanjakan begitu banyak wang bagi pengiklanan.

MAS perlu membina jenamanya dan persoalannya bukanlah kos, tetapi pendapatan, katanya.

Sambil menyebut kejayaan AirAsia adalah disebabkan oleh penjenamaan, Fernandes, yang memiliki 66 peratus kepentingan dalam QPR bersama dengan dua lagi warga Malaysia, berkata mereka mahu memberikan lebih banyak nilai kepada syarikat-syarikat yang menaja kelab itu.

Katanya, disebabkan penglibatan mereka dalam kelab itu, ramai peminat QPR di Britain bertanya-tanya tentang kunjungan ke Malaysia.

“Saya rasa (Menteri Pelancongan) Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, akan merasa gembira mendengarnya,” ujar Fernandes.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.