TPM tuan rumah Forum Perniagaan Teknologi

KUALA LUMPUR: Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd (TPM), penggerak pembangunan sains, teknologi dan inovasi negara, akan menganjurkan forum perniagaan teknologi di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil di sini pada 21 Oktober ini.

TPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Forum Perniagaan Teknologi dan Inovasi (TBIF) itu akan memberi tumpuan dalam mengesan revolusi teknologi akan datang untuk pertumbuhan ekonomi berkekalan.

“TBIF adalah platform yang sangat sesuai untuk agensi kerajaan, ahli sains dan pereka cipta, usahawan serta pemimpin industri untuk mempelajari keperluan, peluang dan potensi prospek ekonomi teknologi baru dan inovasi untuk kekal kompetitif dalam pasaran dunia yang pesat,” katanya.

TPM berkata, penyelesaian untuk Malaysia dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi ialah menerusi pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan, dan oleh itu, syarikat dan usahawan Malaysia perlu meneroka teknologi dan inovasi terkini supaya berada di hadapan landskap ekonomi dunia.

TPM berkata, forum sehari itu akan mengetengahkan pakar terkemuka antarabangsa, Profesor William E Halal, yang mengetahui maklumat mendalam mengenai teknologi baru, perancangan strategik, pengetahuan dan perubahan institusi.

“Profesor Halal akan membincangkan topik utama Unjuran Revolusi Teknologi: Pencapaian strategik, Peluang Perniagaan dan Transformasi Global,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.