Wang tunai RM400 juta milik Liberia dilapor hilang

MONROVIA: Kerajaan Liberia sedang menjalankan siasatan berhubung kehilangan wang kertas yang baru dicetak, bernilai hampir AS$100 juta (RM413.6 juta) untuk kegunaan bank pusat negara di Afrika barat itu.

“Kerajaan sedang berusaha dan akan menggunakan semua saluran yang ada untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini.

“Hasil siasatan mengesahkan jumlah keseluruhan wang tunai yang hilang ialah 15 bilion dolar Liberia (RM400 juta),” kata Menteri Penerangan Liberia, Lenn Eugene Nagbe kepada AFP.

Kementerian Kehakiman berkata, siasatan mengenai kehilangan wang itu diadakan sejak 8 Ogos lalu.

Ia susulan ‘maklumat yang diperoleh mengenai ketibaan bekas dan beg mengandungi wang tunai’ di pelabuhan serta lapangan terbang antarabangsa di Monrovia, ibu negara Liberia.

Menurut Kerajaan Liberia, siasatan awal menunjukkan wang tunai itu tiba antara November 2017, iaitu ketika Ellen Johnson Sirleaf masih memegang jawatan presiden hingga Ogos lalu.

Jawatan Presiden Liberia kini disandang George Weah, yang dilantik pada Januari lalu.

“Kerajaan baru tidak dimaklumkan mengenai ketibaan ‘bekas dan beg yang mengandungi wang tunai’ ke negara ini,” kata Kementerian Kehakiman dalam satu kenyataan.

Sementara itu, akhbar harian tempatan dalam edisi dalam taliannya melaporkan, bekas wang tunai itu diambil dari pelabuhan pada akhir Mac lalu oleh kakitangan bank pusat Liberia, tetapi siasatan mendapati ia tidak sampai ke destinasi, ditetapkan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.