Peneroka Felda bakal pemegang saham terbesar FGVH

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Koperasi Peneroka Felda (KPF) bakal menjadi pemegang saham terbesar Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Sdn. Bhd. apabila syarikat itu disenaraikan ke Bursa Malaysia pertengahan tahun depan.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, langkah itu bertujuan memastikan kedudukan peneroka sebagai pemegang saham terbesar sentiasa terjamin.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak FGVH belum memutuskan jumlah saham yang akan dimiliki oleh KPF selaku pemegang saham terbesar di dalam syarikat berkenaan.

”Penyenaraian FGVH adalah semata-mata untuk manfaat peneroka secara keseluruhan dan atas sebab itu kita memerlukan satu syarikat khas bagi membolehkan para peneroka diberi kedudukan istimewa iaitu sebagai pemegang saham terbesar.

”Akhirnya kita membuat keputusan memilih KPF menjadi wakil kepada peneroka di dalam FGVH,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu Mohd. Isa telah menghadiri majlis penerangan FGVH yang turut dihadiri ketua-ketua peneroka seluruh negara di Dewan Perdana Felda.

Mohd. Isa juga berkata, Felda Holdings Bhd. sedang menyenarai pendek 15 bank pelaburan bagi menguruskan proses penyenaraian FGVH.

Beliau berkata, kesemua bank pelaburan terbabit telah ditemuduga dan kini hanya menunggu keputusan akhir dibuat.

”Dijangka keputusan mengenainya akan dikeluarkan pada minggu ini. Perkara ini perlu disegerakan memandangkan proses penyenaraian dijadual berlaku pada Jun tahun depan,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan Felda Holdings bakal memilih dan melantik empat buah bank tempatan dan asing minggu depan bagi mengendalikan proses penyenaraian PGVH pada pertengahan 2012.

Sementara itu beliau berkata, para peneroka menyambut baik keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan untuk menyenaraikan FGVH ke Bursa Malaysia.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.