Refleksi yang mengganggu

IDEA pembikinan filem Klip 3GP sangat menarik bagi saya. Walaupun agak terlewat kerana penggunaannya sudah bermula seawal era millennium, namun subjeknya masih relevan dengan masyarakat moden; apatah lagi tema sebegini jarang diangkat dalam filem-filem Melayu.

Seperti mana David Fincher menghasilkan The Social Network (2010) tentang evolusi Facebook, Klip 3GP turut mewakili zaman kepesatan teknologi.

Bagaimana ia membawa kesan kepada ketamadunan manusia, walaupun format 3GP sudah sedikit terkebelakang dan kurang diperkatakan hari ini.

Eddie ialah watak yang amat penting dalam Klip 3GP. Dia menjadi penggerak atau ‘pencerita’ kepada empat kisah yang tidak bersangkut-paut di antara satu sama lain, tetapi secara tidak langsung berkait rapat dengannya. Filem ini bermula mengenai Eddie dan akhirnya juga tentang Eddie.

Eddie ialah jejaka muda yang memperolehi kekayaan mudah dengan memperdagangkan klip-klip yang dimuat turun di Internet.

Ketika Eddie menyaksikan klip-klip itu pada satu malam, penonton dibawa mengenali asal-usul serta watak-watak di dalamnya.

Klip Hantu Kebaya Merah ialah mengenai imej seram yang secara tidak sengaja dirakam oleh tiga gadis; Remaja Rogol mengenai gadis sekolah yang diperkosa beramai-ramai dan Maya Eksekutif Terlampau ialah rakaman seks seorang wanita dalam keadaan sedar.

Turut dipaparkan ialah dua karakter lelaki kaki intip yang merakam apa saja perlakuan sumbang, termasuk menceroboh tandas wanita, demi wang.

Tidak dinafikan, idea asal Sofia J. Rhyland terhadap empat cerita ini mempunyai faktor tarikan yang kuat untuk penonton menyaksikan dan mengambil peduli.

Namun begitu, selaku penulis skrip, dia dan pengarah Aidilfitri Mohd. Yunos mempunyai sedikit masalah dalam pengolahan.

Diceritakan secara berselang-seli, susunannya agak melompat-lompat. Benar, penonton masih boleh mengikuti dan memahami setiap satunya, tetapi polanya tidak kemas dan menganggu konsentrasi penonton. Di antara keempat-empat kisah itu, Hantu Kebaya Merah yang paling kurang berkesan.

Segmen ini seakan digarap tergopoh-gapah kerana lakonan yang tidak meyakinkan dan kesan khas yang kelihatan seperti kartun.

Saya kurang pasti jika penulis skrip dan pengarah memang sengaja mahu menjadikannya komikal, tetapi niat itu tidak kesampaian.

Segmen kaki pengintip mungkin melucukan bagi sesetengah penonton kerana dua lelaki itu diwarnakan dengan sifat selamba dan berani. Namun, ia seperti membuka mata kita tentang penyalahgunaan serta manipulasi manusia terhadap teknologi.

Seperti yang disebut oleh salah satu watak, perkara-perkara ini hanya dilakukan kaum Melayu dan ini refleksi kebenaran yang amat membimbangkan.

Saya akui visual yang dipaparkan dalam kisah Remaja Rogol sangat ‘mengganggu’. Pengarah berjaya menimbulkan perasaan cemas, jijik dan kurang selesa pada babak Sandra diperkosa bergilir-gilir, lebih-lebih lagi membabitkan abangnya sendiri.

Adegan Sandra mati dengan mata terbeliak dan berdarah di celah kangkang masih berbekas di fikiran saya.

Walaupun segmen ini dilaksanakan dengan baik, babak-babak awal terasa sedikit meleret, tidak ubah seperti video muzik lagu cinta di antara Sandra dan teman lelakinya.

Barangkali pengarah mahu mengelirukan penonton jika Sandra nanti akan menjadi mangsa teman lelaki atau sebaliknya, kerana kekasihnya itu juga obses merakam gambar Sandra.

Paparan utama Klip 3GP ialah kisah Maya yang diperdaya Sunny, lelaki yang ditemuinya di kelab malam. Dengan pengaruh alkohol, Maya dibawa ke ranjang untuk dirakamkan. Sunny sebenarnya ialah gigolo yang bekerjasama dengan isteri sendiri dalam memeras ugut mangsa-mangsa rakaman.

Pemilihan Mimi dari kumpulan One Nation Emcees untuk menggalas watak Maya adalah keputusan tepat. Karakter itu seolah direka khusus untuknya. Penyanyi yang pertama kali berlakon ini bukan saja tidak kaku beraksi ghairah, malah dia mampu meraih simpati, dalam masa sama menggerunkan penonton apabila bertindak di luar kawalan.

Dibarisi pelakon baru, tidak ramai yang benar-benar menyerlah dalam Klip 3GP. Zahiril Adzim selaku Eddie sekadar menjadi perantara, tidak lebih daripada itu.

Barangkali bukan salah Zahiril, sebaliknya ruang watak yang tidak berkembang. Meskipun dia adalah dalang utama penyebaran klip-klip, kebencian penonton terhadapnya tidak dirasai.

Tidak banyak yang kekok mengenai filem ini, kecuali lakonan beberapa pemain yang amatur dan lokasinya yang dirasakan terlalu jelas ‘menipu’ penonton.

Saya memahami tentang penajaan dan kekangan bajet, tetapi agak mengelirukan apabila apartmen Maya, Sunny dan Eddie kelihatan serupa pada kawasan koridor, di mana beberapa kali penonton diberikan pandangan dari kamera litar. Ini kelihatan seperti mereka berjiran.

Saya menyifatkan gambaran pengarah menerusi sesetengah babak begitu realistik. Namun, saya meragui klasifikasi PG 13 yang diberikan Lembaga Penapis Filem (LPF) kerana ia agak panas dan kurang manis untuk penonton dalam julat 13 hingga 17 tahun.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.