Singapura enggan mansuhkan ISA

SINGAPURA 19 Okt. – Singapura hari ini mempertahankan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan kerana ia merupakan ‘perisai’ terhadap ancaman keganasan.

Kerajaan juga menolak gesaan beberapa pihak untuk memansuhkan akta tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean ketika berucap di Parlimen berkata, ISA membenarkan kerajaan bertindak segera terhadap suspek militan sebelum mereka boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata, ia akan mengambil masa untuk melaksanakan rang undang-undang anti-keganasan yang mempunyai kuasa untuk menangkap suspek sebelum mereka melancarkan serangan dan sukar untuk membawa mereka ke muka pengadilan.

”Pada masa depan, Singapura akan memerlukan satu rang undang-undang yang mempunyai peruntukan sama seperti ISA termasuk penahanan awal dan memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan awal dan menghalang ancaman terhadap keselamatan negara kita.

”Undang-undang tersebut akan berkembang dalam satu tempoh masa tetapi ketika ini, ISA adalah perisai yang kita perlukan untuk melindungi daripada ancaman ini, membenarkan kita menanganinya dengan segera dan secara berkesan,” ujarnya.

Kumpulan hak asasi manusia dan bekas tahanan politik menggesa kerajaan untuk memansuhkan ISA selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu bulan lepas.

Chee Hean yang juga Menteri Dalam Negeri menolak cadangan ISA digantikan dengan satu akta keganasan.

”Satu akta keganasan tidak akan membenarkan tindakan awal diambil terhadap mereka yang belum melakukan jenayah tetapi ia boleh digunakan terhadap ahli jaringan pengganas.

”Akta itu akan berkesan jika ia meluas dan menyediakan peruntukan penahanan awal seperti ISA,” ujarnya.

Beliau memberitahu, perbicaraan kes keganasan tidak boleh dilaksanakan kerana ia akan mendedahkan maklumat yang boleh digunakan oleh pengganas dalam agenda mereka.- AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.