Otai Reformasi tuntut penjelasan PKR

PETALING JAYA: Otai Reformis menuntut penjelasan kepemimpinan pusat PKR mengenai pembatalan surat sokongan menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Bekas Setiausahanya, Abdul Razak Ismail, berkata PKR tidak berlaku adil dalam isu pelantikan Menteri Besar Selangor walaupun Dr Idris sudah mendapat sokongan daripada empat parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Kami tidak menyanggah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan melantik Menteri Besar baharu tetapi kami mempertikaikan tindakan Dr Wan Azizah yang menghantar surat baharu (calon Menteri Besar) sehingga mengatasi surat sokongan oleh pemimpin komponen PH.

“Otai Reformis amat berdukacita dengan cara layanan terhadap Dr Idris dan sebab itu kami mengambil keputusan bersolidariti bersama Dr Idris,” katanya pada sidang media di kediaman Dr Idris di sini, hari ini.

Abdul Razak mendakwa, kepemimpinan PKR juga tidak mengambil sebarang usaha mempertahankan Dr Idris yang difitnah isu penyelewengan membabitkan wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebuah kolej swasta.

Beliau turut mempersoalkan kenapa isu terbabit timbul ketika Dr Idris dinamakan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

“Saya pelik dan hairan, kenapa isu tu tidak timbul masa pilihan raya umum baru-baru ini tetapi timbul ketika Dr Idris dinamakan sebagai calon Menteri Besar. Ini secara langsung menjejaskan nama baik Dr Idris yang juga ahli Otai Reformis,” katanya.

Sementara itu, Dr Idris meminta polis mempercepatkan siasatan mengenai penyelewengan terbabit bagi membersihkan nama dan imejnya.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini Isnin lalu. Saya amat berharap kes ini dapat diselesaikan segera kerana ia mengaibkan saya, keluarga dan kerjaya sebagai seorang doktor,” katanya.

Semalam, Istana Selangor dalam satu kenyataan, berkata Sultan Selangor memberi perkenan kepada pelantikan ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari, berdasarkan amalan (convention) yang biasa dilakukan dalam pelantikan seorang Menteri Besar di Selangor.

Kenyataan itu menjelaskan Sultan Selangor menerima surat daripada Presiden PKR yang mencalonkan tiga nama ADUN Selangor untuk mendapat perkenan sebagai calon pilihan Menteri Besar pada 7 Jun lalu.

“Dalam surat itu juga, Dr Wan Azizah memohon perkenan Sultan Selangor bagi menerima menghadap mana-mana calon yang pada pandangan Sultan Selangor layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah sebagai Datuk Menteri Besar Selangor.

“Surat Presiden PKR ini juga secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua-ketua parti politik Selangor kepada Sultan Selangor.

“Selepas diteliti dan mendapatkan pandangan daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, maka Sultan Selangor berkenan dengan pelantikan salah seorang daripada calon yang disenaraikan iaitu Amirudin Shari yang juga ADUN Sungai Tua sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ke-14,” katanya.

Azmin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau sudah menghadap Sultan Selangor untuk memaklumkan calon penggantinya yang dipersetujui pimpinan PKR dan PH susulan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Desas-desus bakal pengganti Azmin sebelum ini terlerai dengan Amirudin mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.