Penjenayah tegar ditangkap lagi

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang sudah tujuh kali dijatuhi hukuman penjara atas pelbagai kesalahan, ditahan semalam, kerana disyaki meragut seorang wanita, 14 Jun lalu.

Lelaki berusia 53 tahun itu sekali lagi ditahan polis bersama adik lelakinya, 43, di sebuah rumah tidak bernombor di Inanam, pada jam 5.15 pagi.

Dalam kejadian jam 1.40 petang, 14 Jun lalu, mangsa berusia 49 tahun yang baru selesai membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri diragut penunggang motosikal di hadapan pusat beli-belah, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata mangsa tidak cedera namun kerugian hampir RM2,000 selepas rantai leher emas miliknya dilarikan suspek.

Katanya, mangsa dan anak perempuannya bagaimanapun dapat mengecam muka suspek dan segera membuat laporan polis untuk bantuan segera.

“Berdasarkan maklumat orang awam dan risikan polis, suspek ditahan di Inanam, hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota D9 Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kota Kinabalu.

“Kami merampas sebuah motosikal yang dikenal pasti digunakan ketika kejadian dan resit pajak gadai atas nama suspek yang disyaki milik mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Chandra berkata, hasil pemeriksaan lanjut, suspek kedua yang juga adik suspek pertama didapati turut mempunyai rekod jenayah dan pernah dua kali dipenjarakan atas kesalahan mencuri dan ugutan jenayah.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dan direman sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan ragut dan samun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda dan boleh dikenakan sebatan,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.