Tiada Asas Salahkan Saya Dalam Skandal 1MDB

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak patut dipersalahkan atas skandal 1MDB yang bernilai berbilion ringgit itu, dan mendakwa tidak tahu-menahu bagaimana wang dari dana milik kerajaan Malaysia boleh berada dalam akaun peribadinya.

Bagaimanapun beliau ada penjelasan mengenai sejumlah besar wang, beg tangan mewah serta barang kemas yang disita dari rumahnya oleh pihak berkuasa Malaysia baru-baru ini.

Bercakap kepada Reuters untuk kali pertama selepas dikejutkan dengan kekalahan pada pilihan raya 9 Mei lalu, Najib berkata, penasihat-penasihatnya serta pihak pengurusan serta lembaga pengarah 1MDB secara salah menyimpan dana itu dan merahsiakannya daripada beliau.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Reuters, pihak berkuasa mempunyai “kes yang hampir sempurna” ke atas Najib untuk didakwa atas penyelewengan, salah urus serta rasuah berkaitan 1MDB.

Najib, 64, kalah dalam pilihan raya umum selepas sedekad berkuasa. Antara lain ia disebabkan oleh skandal 1MDB yang dianggap Peguam Negara AS, Jeff Sessions, sebagai “kleptokrasi pada tahap terburuk.”

Najib – dalam sebahagian daripada komennya yang paling meluas mengenai skandal 1MDB setakat ini – berkata beliau tidak tahu ratusan juta dolar digerakkan melalui akaun peribadinya adalah dari 1MDB.

Beliau juga mendakwa tidak tahu dana itu akhirnya digubah untuk memperoleh aset di seluruh dunia, termasuk kapal pesiaran mewah, lukisan, permata dan hartanah bernilai tinggi.

“Saya tidak ada kaitan dengan kapal layar, lukisan… saya tak pernah lihat lukisan itu semua,” kata Najib.

Beliau juga menambah tidak tahu-menahu mengenai pembelian berkenaan.

“Ini dibuat tanpa pengetahuan saya. Saya tidak akan mengizinkan dana 1MDB digunakan untuk (membeli) mana-mana barang ini.

“Saya berada dalam kerajaan begitu lama, saya tahu mana yang betul, mana yang salah,” katanya pada sesi temu bual diadakan di sebuah vila mewah persendirian menghadap laut di sebuah hotel lima bintang di Langkawi, Kedah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.