Nora Danish sahkan akan kahwin tahun ini

>> NORA mengesahkan dia akan mendirikan rumah tangga pada tahun ini juga. – Foto Halim Salleh

PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish, 34, mengesahkan dia dan kekasih, Nedim Nazri, 33, akan mendirikan rumah tangga pada tahun ini juga.

Nora bagaimanapun memberitahu, mereka belum menetapkan tarikh muktamad bagi meraikan hari bahagia itu.

“Seperti yang kami rancang, memang tahun ini (perkahwinan berlangsung). Saya akui memang sibuk dengan kerjaya, namun masih ada masa untuk merancang majlis kami.

“Kami juga tidak bercadang untuk mengadakan majlis besar-besaran, sebaliknya cukuplah untuk melaksanakan perkara wajib saja,” katanya ketika ditemui pada di sini, hari ini.

Pemilik nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif itu turut berkata, Bali, Indonesia bakal menjadi antara lokasi majlis perkahwinannya kerana tertarik dengan keindahan alam semula jadi pulau peranginan itu.

Bercerita lanjut, pelakon itu yang mula dikenali menerusi drama bersiri Puteri, turut meminta semua peminat mendoakan yang terbaik buat mereka.

“Kita hanya mampu merancang dan Allah yang akan menentukan semuanya. Kami memang merancang (untuk berkahwin) pada tahun ini dan sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Ibu tunggal kepada seorang putera itu berkata, dia selesa menjalin hubungan dengan Nedim yang sangat memahami kerjaya dan penyokong kuat dirinya.

“Sudah lebih tiga tahun kami bersama dan saya bersyukur kerana dia sentiasa ada di sini ketika susah dan senang,” katanya.

Sebelum ini, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Rizal Ashram Ramli pada 20 Jun 2006. Mereka bagaimanapun berpisah pada Julai 2008. -BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.