Gilakan isteri orang, lelaki parah dibelasah

Seorang lelaki berusia 35 tahun parah dibelasah 15 lelaki akibat gilakan isteri orang dalam satu kejadian di Kampung Kuala Bekah, Telok Ayer Tawar. – Foto ihsan PDRM

BUTTERWORTH: Akibat gilakan isteri orang, seorang lelaki berusia 35 tahun parah dibelasah 15 lelaki di Kampung Kuala Bekah, Telok Ayer Tawar di sini, jam 9 pagi semalam.

Difahamkan, lelaki berkenaan sudah tujuh tahun mengenali wanita berusia 31 tahun itu yang sudah berkahwin dan sering mengganggunya walaupun tidak dilayan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pada hari kejadian semalam, lelaki berkenaan datang ke rumah wanita berkenaan di Jalan Padang Benggali Telok Ayer Tawar sebelum memanggilnya keluar rumah.

Beliau berkata, wanita berkenaan enggan keluar sebelum lelaki itu masuk dan menariknya keluar rumah.

“Wanita berkenaan menolak permintaan lelaki itu namun lelaki itu berkeras malah memegang satu objek dan menunjukkan ke arahnya.

“Susulan itu, wanita berkenaan menjerit dan menarik perhatian ahli Rukun Tetangga berdekatan menyebabkan mangsa melarikan diri ke sebuah rumah di Kampung Kuala Bekah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, rumah lelaki berkenaan kemudian dikepung sekumpulan lelaki sebelum dia menghubungi kakaknya dan memaklumkan perkara itu.

“Sebaik kakaknya tiba di lokasi kejadian, orang ramai sudah berada di luar dan ketika masuk ke rumah, dia mendapati keadaan berselerak dan adiknya duduk sambil memegang kepala yang sakit kerana terkena objek keras.

“Sejurus itu, kakak lelaki berkenaan cuba meleraikan keadaan tetapi gagal sebelum seramai 10 hingga 15 orang menyerbu masuk ke rumah dan memukul adiknya itu,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu mendakwa dia ditumbuk, diterajang dan dipukul dengan topi keledar oleh wanita itu sendiri termasuk suaminya, bapa kandung dan adik lelakinya.

Noorzainy berkata, berdasarkan keterangan daripada anggota polis di lokasi kejadian, lelaki berkenaan ketika kejadian memegang pisau dan enggan menyelesaikan isu itu ketika didatangi keluarga wanita berkenaan.

Katanya, lelaki itu luka di kepala, lebam di kedua-dua tangan, bahagian belakang dan pinggang serta dilaporkan dalam keadaan stabil di Hospital Kepala Batas.

“Susulan kejadian, wanita berkenaan, bapa, suami dan adik lelakinya berusia 29 hingga 59 tahun ditahan polis jam 2.05 pagi hari ini untuk tujuan siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.