16 bekas tahanan tuntut kerajaan Singapura contohi Malaysia mansuhkan ISA

SINGAPURA 20 Sept. – Bekas tahanan politik di Singapura menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di negara ini selepas Malaysia mengambil keputusan untuk menghapuskan undang-undang serupa.

Dalam mesej yang disiarkan oleh sebuah laman web bebas dan dilaporkan dalam media prokerajaan hari ini, 16 bekas tahanan ISA berkata, sudah tiba masanya untuk menghapuskan undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan itu.

“Singapura mewarisi ISA daripada Malaysia, dan undang-undang ini sudah wujud selama lebih setengah abad dan membawa kesan buruk serta memudaratkan terhadap masyarakat,” menurut petisyen bekas tahanan itu.

ISA yang mula dilaksanakan oleh Britain selepas Perang Dunia Kedua untuk memerangi gerila komunis di Tanah Melayu dikekalkan oleh Singapura selepas kemerdekaannya daripada Persekutuan Malaysia pada 1965.

Akta itu dikecam oleh pengkritik di kedua-dua negara sebagai alat untuk menyekat tentangan politik, tetapi Singapura menolak desakan supaya ISA dihapuskan selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu mengumumkan kerajaan beliau akan memansuhkannya.

Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam kenyataannya Jumaat lalu berkata, ISA masih ‘relevan’ dalam memerangi ancaman kegiatan subversif, fahaman ekstremis perkauman dan agama, pengintipan dan keganasan.

“Tidak ada seorang pun yang pernah ditahan semata-mata kerana fahaman politiknya,” menurut kenyataan itu.

Antara bekas tahanan yang mengemukakan petisyen itu ialah Chia Thye Poh, yang pernah ditahan selama 26 tahun dan termasuk di kalangan tahanan politik paling lama dipenjarakan di samping ikon demokrasi dan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Thye Poh ialah Ahli Parlimen pembangkang dan cendekiawan sosialis 1960-an yang dituduh menjadi anggota subversif komunis, dakwaan yang dinafikannya.

Tujuh daripada bekas tahanan itu ditahan pada 1987 kerana didakwa terlibat dalam konspirasi Marxis untuk menjatuhkan kerajaan Lee Kuan Yew, Perdana Menteri dari 1959 hingga 1990. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.