Ilmu, peribadi baik perisai hadapi imperialisme moden

TANJUNG MALIM 21 Sept – Malaysia akan mampu menangani cabaran imperialisme bentuk baru jika rakyatnya dapat menguasai ilmu pengetahuan dan mempunyai peribadi diri yang baik, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, dengan ilmu yang mencukupi, negara akan dapat ditadbir dengan lebih baik oleh rakyat berdasarkan acuan sendiri, tanpa perlu tunduk kepada pengaruh asing, yang merupakan sebahagian daripada bentuk imperialisme.

“Satu cabaran penting bagi kita ialah ilmu. Jika ada ilmu yang cukup kita akan dapat tentukan negara boleh dibangunkan dengan usaha kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan syarahan perdana Za”ba bertajuk “Mampukah Malaysia Menghadapi Cabaran Imperialisme Bentuk Baru”, di Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, kuasa-kuasa Barat merupakan pelaksana imperialisme yang sebenarnya yang mana bagi mereka imperialisme ialah untuk menakluk dan mentadbir negara lain sehingga negara itu hilang kuasa.

“Tetapi itu imperialisme cara lama. Sekarang, walaupun bukan secara langsung tetapi imperialisme itu masih wujud dan menguasai masyarakat dalam pelbagai bentuk sama ada politik, ekonomi mahupun sosial serta mempengaruhi akal fikiran seseorang,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir menerima penganugerahan Tokoh Za”ba yang merupakan penganugerahan tertinggi yang diberikan oleh Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI, atas pencapaian dan sumbangan kepada orang Melayu dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi dan bahasa. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.