KUD 2011 pamer produk usahawan desa

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Karnival Usahawan Desa 2011 (KUD 2011) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang bermula esok hingga 25 September bakal menghimpunkan kira- kira 500 usahawan luar bandar.

Karnival yang berlangsung di Laman 1Malaysia Presint 2, Putrajaya itu bukan sahaja menampilkan produk keluaran mereka tetapi juga akan membantu usahawan mencari pasaran baharu hingga ke peringkat global.

Pengusaha yang dipilih terdiri daripada usahawan bimbingan jabatan dan agensi di bawah KKLW dengan mereka mempamer dan menjual empat kategori utama produk iaitu makanan, kraftangan, herba dan perkhidmatan.

Karnival itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Khamis 22 September 2011.

Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi, KKLW, Zazali Salehudin (gambar) berkata, penganjuran KUD 2011 turut menjemput 13 agensi pemasaran yang terdiri daripada pasar raya besar seperti Giant, Tesco dan Mydin dalam usaha menarik perhatian mereka untuk menjalin kerjasama dengan pengusaha desa.

“Selain itu terdapat lima pembekal termasuk teknologi maklumat, bahan mentah, rekaan pembungkusan dan pelabelan.

“Semuanya sebagai langkah membantu usahawan untuk memasuki pasaran yang luas seperti pasar raya besar serta pasaran global,” katanya.

Usahawan yang dipilih menyertai KUD merupakan mereka yang mempunyai produk yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.

Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.