Palestin miliki ‘peluru diplomatik’

NEW YORK 20 Sept. – Kempen Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat oleh ramai pemerhati sebagai ‘peluru diplomatik’ yang ditujukan bukan sahaja terhadap Israel tetapi juga Amerika Syarikat (AS).

Sebarang veto AS untuk menggagalkan permohonan pengiktirafan negara Palestin di Majlis Keselamatan PBB boleh membawa ketegangan Palestin-AS ke kemuncak selepas setahun menyaksikan tiada kemajuan dicapai dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Presiden AS, Barack Obama dijadual menemui Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa Perhimpunan Agung PBB (UNGA) minggu ini, yang dijangka dibayangi oleh kempen negara Palestin itu.

Tiada pertemuan AS diatur dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, dan wakil Palestin di PBB, Riyad Mansour menuduh pentadbiran AS mengambil ‘pendirian negatif’ dengan ugutan untuk menggunakan kuasa vetonya.

Pemerhati Palestin berkata, Washington tidak berupaya untuk mempengaruhi Netanyahu berhubung pembinaan kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin dan beberapa isu lain.

AS yang sudah mengancam untuk menggunakan kuasa vetonya terhadap resolusi negara Palestin di Majlis Keselamatan, berpendirian hanya rundingan langsung Israel-Palestin boleh membawa kepada penubuhan negara Palestin.

Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton semalam berkata, AS telah melancarkan usaha ‘amat intensif’ bagi meyakinkan pemimpin Palestin supaya membatalkan kempen mereka itu, tetapi diplomat Palestin pula berkata, belum ada cadangan AS yang menepati jangkaan mereka untuk mencapai persetujuan yang boleh mengelakkan konfrontasi.

Khaled Elgindy daripada Pusat Saban bagi Dasar Asia Barat di Brookings Institution berkata, tindakan Palestin itu adalah sebagai mesej kepada AS dan masyarakat antarabangsa bahawa Palestin tidak berpuas hati dengan cara Amerika mengurus proses damai.

Abbas dan pemimpin lain dari satu segi cuba memastikan AS menanggung akibat daripada kegagalan itu, katanya.

“Saya tidak fikir pemimpin Palestin mahu menolak sama sekali peranan AS sebagai peneraju atau penaja proses damai.

“Namun mereka mengharapkan peranan lebih saksama daripada Washington dan penglibatan antarabangsa yang lebih luas supaya proses damai tidak didominasi semata-mata oleh AS,” ujar beliau. – AFP

Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.