Tidak mustahil ikat Jepun

TOKYO – Di sebalik hakikat menentang pasukan terkuat Asia, Jepun pada Kelayakan Olimpik, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menaruh harapan tinggi untuk skuad negara mencipta kejutan pada perlawanan hari ini.

Meramalkan anak buah Ong Kim Swee mampu mengikat Jepun untuk berkongsi satu mata, Ahmad Shabery berkata, ia bukan mustahil apabila melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain.

“Saya sedar skuad Olimpik negara akan berdepan dengan pasukan yang cukup hebat, namun saya menjangkakan mereka mampu mencatatkan keputusan seri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Masaharu Nakagawa di sini, semalam.

Ahmad Shabery berada di Tokyo dalam rangka lawatan kerja tiga hari sejak Isnin lalu yang antara lain bertemu dengan Pemangku Setiausaha Agung, Parti Demokratik Jepun, Shinju Tarutoko dan Presiden Majlis Olimpik Jepun (JOC), Tsunekazu Takeda.

Beliau juga akan menyaksikan aksi skuad Olimpik negara menentang Jepun di Stadium Kebangsaan Tosu, Saga hari ini.

Ahmad Shabery berkata, pemain perlu menjadikan perlawanan menentang Jepun hari ini sebagai strategi serampang dua mata bagi memperlihatkan bakat mereka kepada kelab-kelab ternama dalam Liga Bola Sepak Jepun (Liga-J).

Tambah beliau, perlawanan hari ini merupakan peluang terbaik kepada pemain muda untuk mengembangkan bakat mereka di luar negara terutamanya di Jepun.

Turut meramalkan skuad Olimpik negara mampu mencipta kejutan adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong yang akan bersama-sama Ahmad Shabery menyaksikan perlawanan hari ini.

Meskipun mengakui agak sukar untuk menang, Zolkples berharap pasukan negara dapat bertahan dan tidak memberikan peluang kepada pemain Jepun menjaringkan gol.

“Bagi saya kalau dapat bertahan tanpa dibolosi walau satu gol pun sudah dikira satu keputusan yang baik,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.