Tiga murid boleh duduki semula UPSR

DUNGUN 20 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dukacita dengan insiden tiga murid Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor di Sarawak dihalang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku.

Sambil memohon maaf kepada ibu bapa murid-murid terbabit, beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, mereka akan menduduki semula peperiksaan itu dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Di bawah Akta Pendidikan, membolehkan murid mengambil peperiksaan itu adalah kuasa Menteri Pelajaran, saya ada kuasa untuk membenarkan mereka menduduki peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri di sini, hari ini.

Muhyiddin mengulas laporan akhbar berhubung tiga murid lelaki yang tidak dibenarkan menduduki UPSR kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejaskan prestasi keseluruhan sekolah itu.

Katanya, dalam keghairahan untuk mendapat insentif tertentu dan membolehkan sekolah mencatatkan pencapaian cemerlang, mereka (pentadbir sekolah) tidak harus bertindak sedemikian seperti menyekat murid yang lemah untuk menduduki peperiksaan.

“Ini adalah hak murid, ibu bapa juga berhak untuk tahu pencapaian anak mereka, jangan sampai hak murid untuk mengambil peperiksaan dihalang,” katanya.

Muhyiddin berkata, Lembaga Peperiksaan akan mengolah soalan yang setara dengan soalan terdahulu dan mereka boleh mengambil peperiksaan itu dan akan diterima sebagai keputusan rasmi UPSR.

Muhyiddin berkata, Ketua Pengarah Pelajaran telah diminta menyiasat kes berkenaan dan menyediakan laporan lengkap.

Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang terbabit di bawah peraturan sedia ada jika ia sememangnya disengajakan.

Bagaimanapun, Muhyiddin menganggap kes berkenaan sebagai kes terpencil dan berharap kejadian sedemikian tidak berulang lagi.

”Walaupun kita ada buat tawaran, jangan sampai hak dan keupayaan murid untuk mengambil peperiksaan dihalang dan saya tak mahu ini menjadi satu kebiasaan.

”Kalau hal seperti ini berlaku, kita perlu ambil tindakan dan perbetulkan,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai bantuan penuh kepada sekolah jenis kebangsaan, Muhyiddin berkata, ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu dan bukanlah satu yang menyeluruh.

“Ia adalah bersyarat dan perlu diluluskan oleh kerajaan kerana ia membabitkan kos dan implikasi yang besar serta kemampuan kerajaan dan ketika ini kita hanya lakukan secara terpilih, di sekolah-sekolah yang mempunyai merit,” ujar beliau.

Menurut Muhyiddin, pelaksanaan keseluruhan bantuan itu perlulah mempunyai dasar yang jelas sebelum dilaksanakan kerana ia membabitkan peruntukan yang besar.

Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.