Dadah: Pelajar Afrika catat jumlah tangkapan tertinggi

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Warga Afrika merekodkan bilangan pelajar negara asing tertinggi yang ditahan di seluruh negara kerana terlibat dalam kegiatan dadah iaitu seramai 77 orang sejak Januari lalu sehingga kelmarin.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, daripada jumlah itu seramai 66 orang daripadanya, merupakan pengedar, manakala bakinya penagih dadah.

Dalam tempoh sama, statistik turut menunjukkan 11 tangkapan pelajar asing dari pelbagai negara utama termasuk Iran, Bangladesh dan China juga ditahan atas kesalahan sama.

Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, sindiket pengedaran dadah dari Afrika dikesan menggunakan modus operandi (MO) menawarkan upah yang lumayan kepada pelajar-pelajar asing untuk menyeludup masuk atau mengedar dadah di negara ini.

“Selain menyeludup dadah menggunakan pas pelajar, mereka dikesan sebagai pelancong atau ahli perniagaan yang masuk melalui lapangan terbang utama negara.

“Selain laluan udara, sindiket pengedaran dadah juga menggunakan jalan darat untuk menyeludup dadah terutamanya ganja.

“Dalam tempoh itu, seramai 43 warga Afrika direkodkan ditahan kerana menyeludup dadah di lapangan terbang utama negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Noor Rashid memberitahu, mereka yang ditahan menggunakan pelbagai taktik termasuk menyembunyikan dadah di dalam peket tembakau, bekas penyembur rambut dan penyembur badan serta bahagian tiang besi belakang beg.

“Kesemua taktik yang digunakan pengedar dadah ini berjaya dikesan dengan kawalan ketat anggota polis. Hasil tangkapan tersebut menunjukkan polis memandang serius dan komited untuk berusaha membebaskan negara daripada ancaman dadah dan dijadikan sebagai transit dadah di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Rashid memberitahu, seramai 132,851 rakyat tempatan dan warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dadah bagi tempoh Januari lalu sehingga kelmarin, berbanding 129,225 orang bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Katanya, jumlah rampasan pula dianggarkan bernilai RM201.11 juta dengan rampasan dadah paling popular seperti syabu sebanyak 679.34 kilogram berbanding 621.48 kilogram pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, statistik menunjukkan enam warga Afrika antara 14 warga asing ditahan kerana menyeludup dadah di sempadan negara, hampir setiap hari dalam tempoh 4 Oktober hingga 15 Oktober lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.