KUB: Tiada desakan letak jawatan

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Pengerusi KUB Malaysia Bhd. (KUB), Datuk Abd. Halim Abd. Samad menafikan dakwaan kononnya beliau tidak sependapat dengan Mohd. Nazar Samad sehingga mendorong Pengarah Urusan itu melepaskan jawatannya.

”Hubungan saya dengan dengan Mohd. Nazar akrab dan tidak bermasalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengesahkan bahawa syarikat itu melanjutkan kontrak perkhidmatan Mohd. Nazar sehingga 2013 kerana berpuas hati dengan prestasi dan kejayaan memulihkan KUB.

Malah, katanya, Lembaga Pengarah telah menolak peletakan jawatan Mohd. Nazar yang dikemukakan pada awal tahun lalu.

”Bagaimanapun, kami terpaksa bersetuju dengan peletakan jawatan beliau untuk kali kedua pada 17 Oktober atas desakan sendiri dengan alasan untuk berehat.

”Tiada siapa mendesak atau menyuruh beliau untuk meletak jawatan,” tambah beliau.

Abd. Halim menegaskan, peletakan jawatan Mohd. Nazar tidak akan menjejaskan transformasi KUB kerana beliau telah berjaya menjana strategi perniagaan berdaya tahan dan menyediakan pengurusan pelapis yang baik, selain bersedia memastikan proses peralihan dilakukan dengan lancar.

Sebaliknya, KUB yakin pengurusan baharu mampu meneruskan transformasi perniagaan KUB yang telah dibina oleh Mohd. Nazar dan mampu menjadikan KUB berprestasi lebih baik dan berdaya maju.

Tambahnya, Lembaga Pengarah KUB memilih Datuk Wan Mohd. Nor Wan Ahmad memangku jawatan Pengarah Urusan berdasarkan pengalaman 30 tahun dalam pengurusan strategik dan operasi.

Selain itu, Wan Mohd. Nor memiliki pengalaman dalam bidang gas petroleum cecair yang bakal menjadi salah satu operasi teras KUB.

”Beliau (Wan Mohd. Nor) telah bersama KUB sejak tahun 2001, kami yakin beliau mampu meneruskan legasi yang diusahakan selama ini,” ujar Abd. Halim.
Sumber Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.