Najib Tiba Di China Untuk Lawatan Kerja Dua Hari

NANNING (China), 20 Okt (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Khamis malam dari Lombok, Indonesia untuk melakukan lawatan kerja dua hari dan menghadiri Ekspo China-Asean (CAEXPO).

Ketibaan Najib pada 11.08 malam, diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning Wuxu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Duta Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin, Naib Gabenor Guangxi Shen Beihai dan Duta China ke Malaysia Chai Xi.

Lawatan Najib atas jemputan rakan sejawatan beliau dari China Wen Jiabao apabila Malaysia diundang menjadi Negara Kehormat CAEXPO tahun ini.

Delegasi Perdana Menteri terdiri daripada dua menteri iaitu Mustapa dan Chin di samping para pegawai dari kedua-dua kementerian berkenaan, Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Beijing, dan Pejabat Konsul Besar Malaysia di Kunming.

Pada Jumaat pagi, selepas mengadakan pertemuan dengan Wen, Najib dijadual menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Kawasan Perindustrian China (Qinzhou) Malaysia bersama Wen.

Beliau dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan CAEXPO ke-8 sebagai Negara Kehormat, dan berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-Asean (CABIS) kali ke-8.

Beliau turut dijadual melawat Astaka Malaysia ‘Bandar Raya Pesona’ dan Astaka Komoditi Malaysia, selain menyaksikan pertukaran MOU atau perjanjian antara pihak-pihak dari Malaysia dan China di Astaka Malaysia.

Najib dan pemimpin lain dalam Asean akan menghadiri majlis jamuan tengah hari yang dianjurkan oleh Wen.

Beliau dijadual menerima kunjungan hormat oleh Presiden Bank of China Li Lihui sebelum menganjurkan dialog meja bulat antara kerajaan Malaysia dan pemimpin korporat Malaysia serta China yang terpilih.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.