Penganjur jamin tiada provokasi

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Penganjur Himpunan Sejuta Umat (Himpun) memberi jaminan bahawa perhimpunan terbesar umat Islam di negara ini pada Sabtu ini akan berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni tanpa sebarang provokasi.

Pengerusi Bersama Sekretariat Himpun, Dr. Yusri Mohamad berkata, semua pihak yang menyatakan komitmen mereka untuk hadir pada Sabtu ini secara dasarnya telah berjanji untuk menjaga adab dan tatasusila masing-masing.

Malah, katanya, sehingga sekarang pun tiada sebarang unsur yang boleh mengaitkan perhimpunan itu dengan kekecohan dan ketegangan kaum, sebagaimana dibimbangi pihak tertentu.

“Sebagai penganjur yang bertanggungjawab, Himpun melarang sebarang sepanduk yang boleh mencetuskan provokasi selain menempatkan seramai 500 anggota keselamatan.

“Bagi melicinkan lagi soal keselamatan, sekretariat Himpun juga akan bekerjasama dan mengambil kira pandangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutamanya dalam aspek lalu lintas.

“Perhimpunan ini akan berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni tanpa sebarang unsur provokasi. Malah, kita mengalu-alukan seramai mungkin kehadiran rakyat Malaysia termasuk daripada mereka yang bukan beragama Islam.

“Saya mahu tegaskan perhimpunan pada Sabtu ini juga bukan anti mana-mana agama. Apa yang kami cuba usahakan adalah mencari platform bagi umat Islam bersatu dalam usaha mempertahankan akidah tanpa mengira ideologi politik,” katanya pada sidang akhbar Himpun di sini, hari ini.

Menurut Yusri, perpaduan antara seluruh umat Islam pada Sabtu ini adalah kerana akidah.

“Sebagai seorang Islam, tiada yang lebih penting daripada mempertahankan akidah,” tegasnya.

Pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 umat Islam akan berkumpul di Stadium Shah Alam sebagai manifestasi bagi mewakili suara umat Islam di negara ini.

“Himpun yakin jumlah tersebut mampu dicapai memandangkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyatakan komitmen untuk menggerakkan ribuan ahli masing-masing selain sokongan pihak perseorangan,” katanya.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.