Susilo ingatkan rakyatnya jangan lukai hati jiran

MATARAM (Lombok) 20 Okt. – Presiden Susilo Bambang Yudhoyono hari ini mengingatkan seluruh rakyat Indonesia agar jangan bertindak melampau dalam meluahkan rasa tidak senang menerusi aksi demonstrasi sehingga melukai hati negara jiran, Malaysia.

Menurut Presiden Indonesia itu, tindakan demonstrasi yang dilakukan oleh sekumpulan kecil rakyat negara itu termasuk insiden terbaru yang berlaku di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta minggu lalu sudah melebihi batas.

Sehubungan itu, atas nama hubungan saudara serumpun, Susilo menegaskan, persahabatan yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia perlu diperkukuhkan lagi dalam suasana yang harmoni untuk kepentingan jangka panjang.

“Hubungan kedua-dua negara harus diletakkan dalam kerangka yang strategik, fundamental dan berjangka panjang. Sebagai negara tetangga, hampir pasti ada masalah-masalah yang muncul. Dalam alam demokrasi Indonesia, hal itu bisa (boleh) terjadi.

“Saya sudah mengingatkan janganlah tunjuk rasa itu melebihi sepatutnya sebab ia bisa melukai negara sahabat,” kata Susilo pada sidang media selepas mengadakan rundingan tahunan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Susilo berkata demikian sebagai reaksi kerajaan negara itu berhubung tindakan dua kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia, Forum Betawi Rempug (FBR) dan Laskar Merah Putih (LMP) yang mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia, Jalan Rasuna Said di Jakarta minggu lalu.

Beliau menyatakan harapan, dengan persepakatan yang dicapai, tidak ada lagi persepsi keliru terhadap Malaysia oleh rakyat Indonesia.

Rundingan antara kedua-dua pemimpin itu berlangsung dalam suasana penuh harmoni di pulau peranginan popular berkenaan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.