Mourinho berang pembantu Sarri rai gol penyamaan Chelsea

ROSS Barkley menyelamatkan maruah Chelsea di Stamford Bridge apabila meledak gol penyamaan 2-2 pada minit kecederaan ketika aksi penuh dramatik menentang Manchester United, malam Sabtu.

Terdahulu Antonio Rudiger membuka jaringan awal pasukan tuan rumah pada babak pertama sebelum Anthony Martial menyamakan kedudukan dan meletakkan United kembali di depan pada minit ke-73.

Namun berlaku kekecohan di tepi padang apabila pasukan sokongan pengurus Maurizio Sarri meraikan gol penyamaan Barkley di hadapan Mourinho.

Mourinho bangun dari tempat duduknya dan pergi bersemuka dengan pembantu pengurus, Marco Ianni dan berlaku pertikaman lidah antara mereka.

Pengendali dari Portugal itu cuba mengejar Ianni ke terowong tetapi dihalang pegawai bertugas dengan pemain turut terlibat dalam kekecohan itu.

Sarri berjabat tangan dengan Mourinho sejurus tamat perlawanan.

Kekecohan itu mula reda sebaik wisel penamat dibunyikan apabila Mourinho dan Sarri berjabat tangan dengan beberapa petugas sokongan The Blues bergegas meninggalkan padang.

Ketika ditanya mengenai insiden itu, Mourinho berkata:”Ia bukan reaksi saya, ia dari pembantu Sarri.

“Dia amat tidak sopan tetapi Sarri berjaya mengawal keadaan. Mereka minta maaf kepada saya, saya terima. Bagi saya ia sudah berakhir.

“Saya tidak tahu nama dia, saya tidak perlu tahu. Segalanya baik saja,” katanya.

Ianni dikenal pasti sebagai individu yang membuatkan Mourinho panas hati dengan tindakannya meraikan gol Barkley.

Dia adalah pembantu kedua Sarri dan menyertai pengendali Chelsea itu berhijrah ke Stamford Bridge pada musim panas lalu.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.