Lima Anggota Geng Husen Lempoyang Tumpas

RAUB: Polis menahan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam lima kes pecah rumah membabitkan kerugian RM100,000 di daerah ini sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata semua suspek ditahan di tempat letak kereta awam Jalan Dato Abdullah, di sini, pada jam 2 petang kelmarin, hasil maklumat awam.

“Suspek berusia 26 hingga 44 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub selepas gagal melarikan diri kerana dikepung.

“Kita turut merampas beberapa alat pecah rumah seperti tukul, pemutar skru, gerudi, pahat, pemotong kabel dan sebuah kereta PROTON Gen 2,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Berikutan itu, beliau yakin dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di sekitar bandar ini yang dilaporkan berlaku sepanjang bulan lalu dengan penahanan suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi.

Wan Mohd Zahari berkata, polis juga masih meneruskan siasatan terhadap kenderaan yang dirampas itu sama ada curi atau suspek membeli di pasaran gelap.

“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.