Rizab Asing BNM Terus ‘Rugi’ Kali Ini Jatuh RM2.4 Bilion

PARAH… Selepas hilang lebih AS$900 juta (kira-kira RM3.8 bilion) untuk tempoh 15 hari sahaja Pakatan Harapan (PH) berkuasa, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) terus susut.

Kali ini media antarabangsa melaporkan rizab asing bank pusat tersebut hanya berjumlah AS$107.9 bilion (RM432.8 bilion) setakat 14 Jun lalu berbanding AS$108.5 bilion (RM435.2 bilion) pada 31 Mei sebelum itu.

BNM dalam satu kenyataan media di ibu negara pada hari ini berkata kedudukan rizab tersebut cuma memadai untuk membiayai selama 7.5 bulan import tertangguh dan sebanyak 1.0 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Sekadar perbandingan, rekod pada kali ini dianggap jatuh daripada 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri bagi tempoh jangka pendek yang pernah dicatatkan BNM antara 15 Mei sehingga akhir bulan lepas.

Komponen utama rizab antarabangsa BNM itu meliputi rizab mata wang asing (AS$101.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$0.8 bilion) dan Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR – AS$1.2 bilion).

Tidak ketinggalan ialah emas (AS$1.6 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.9 bilion). Aset berkenaan termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab lain, iaitu SDR (RM416.61 bilion) dan kertas Kerajaan Malaysia (RM4.52 bilion).

Juga deposit dengan institusi kewangan (RM2.09 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.30 bilion), tanah dan bangunan (RM4.18 bilion) dan aset-aset lain (RM9.48 bilion), kata kenyataan bank pusat tempatan berkenaan lagi.

BNM yang ditubuhkan sejak 1959, kini masih lagi tiada gabenor selepas Tan Sri Muhammad Ibrahim meletakkan jawatannya secara mengejut pada 6 Jun lalu setelah lebih dua tahun berkhidmat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.