Saham Terus Jatuh, Bursa Malaysia Terburuk Di Dunia!

MERUDUM… Kemerosotan terburuk prestasi saham di Bursa Malaysia iaitu rekod paling teruk sejak Oktober tahun lalu telah menurunkan lagi penanda aras ekonomi negara secara keseluruhan.

Menurut laporan firma penyelidikan kewangan antarabangsa Bloomberg, indeks petunjuk utama Bursa Malaysia (KLCI FBM) jatuh satu peratus lewat semalam, menjadikan penurunannya sebanyak 11 peratus sejak dua bulan lalu.

Rekod kejatuhan tersebut sebenarnya merupakan pe­nurunan selama sembilan hari berturut-turut dan ia berjaya menghampi­ri paras paling rendah yang pernah dicatatkan sejak kali terakhir sekitar Februari 2017 lepas.

“Pasaran saham Malaysia te­lah menjadi antara yang bursa paling buruk di dunia sejak April lalu, malahan ia sudah menyusut lebih daripada 10 peratus,” kata laporan Bloomberg itu yang dikeluarkan di ibu negara hari ini.

Pelabur asing kini sedang berusaha untuk menyesuaikan diri dengan corak pelik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang konon berusaha menyelesaikan hutang negara sehingga menjejaskan sentimen pasaran tempatan.

Akibatnya sebahagian besar pelabur antarabangsa ertindak menarik keluar dana ekuiti setiap hari sejak berakhir Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu kerana tidak yakin dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Penganalisis telah mengurangkan unjuran pendapatan, dan hasilnya Malaysia telah mengatasi Korea Selatan sebagai pasaran Asia Pasifik yang mencatatkan penurunan terbesar dalam unjuran keuntungan tahun ini.

“Tinjauan jangka pendek bagi ekuiti Malaysia akan kekal sukar kerana kerajaan baharu yang cuba untuk mengatasi isu-isu kewa­ngan dengan lebih mendalam,” kata Christopher Wong, Pengurus Pelaburan Kanan Standard Life Investments di Singapura.

“Bagaimanapun, saya men­jang­kakan keadaan akan bertambah baik dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Telekom Malaysia Bhd. (TM) mencatatkan kejatuhan terbesar hari ini, menyusut sehingga 12 peratus ekoran kebimba­ngan terhadap potongan harga perkhid­matan jalur lebar.

Sementara itu, Penganalisis Areca Capital, Danny Wong turut berharap keadaan pasaran saham Malaysia kembali pulih pada masa akan datang.

Pihaknya mengunjurkan pe­ningkatan pendapatan pada separuh kedua tahun ini, di sebalik dasar baharu berkaitan pelaburan asing dan perbelanjaan kerajaan.

Pelabur asing telah menarik keluar sejumlah AS$880 juta (RM3.5 bilion) daripada ekuiti tempatan bulan ini selepas membawa keluar AS$1.4 bilion (RM5.62 bilion) pada Mei, iaitu ketika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum dan menumbangkan Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Bursa Malaysia terus susut pada penutup dagangan berikutan aktiviti jualan yang berterusan akibat ketidaktentuan serta risiko membabitkan perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China selain faktor harga minyak mentah yang rendah.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut di bawah paras kritikal 1,700 mata apabila kehilangan 18.47 mata kepada 1,691.28 mata.

Ini merupakan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak 8 Februari 2017 apabila FBM KLCI ditutup pada 1,688.50 mata.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.69 mata lebih tinggi kepada 1,710.44 mata berbanding 1,709.75 mata sewaktu ditutup pada Rabu dan berlegar dalam lingkungan 1,689.0 mata dan 1,710.71 mata sepanjang sesi dagangan awal.

Indeks FBM KLCI hari ini ditutup pada paras 1,692.32 mata, turun sebanyak 17.43 mata berbanding 1,715.36 mata semalam.

Ringgit juga merosot dan ditutup pada kadar RM4.0165 berbanding dolar Amerika selepas ditutup pada kadar RM4.0020 semalam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.