Menurut laporan Bloomberg, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh satu peratus hari ini, menjadikan penurunannya sebanyak 11 peratus sejak me­ningkat dua bulan lalu.

Kejatuhan itu merupakan pe­nurunan selama sembilan hari berturut-turut dan menghampi­ri paras terendah sejak Februari 2017.

“Pasaran saham Malaysia te­lah menjadi antara yang terburuk di dunia sejak April, menyusut lebih daripada 10 peratus,” kata laporan itu hari ini.

Pelabur asing yang kini sedang berusaha menyesuaikan diri dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berusaha menyelesaikan hutang negara yang menjejaskan pasaran, telah menarik keluar dana ekuiti setiap hari sejak Mei lalu.

Penganalisis telah mengurangkan unjuran pendapatan, dan hasilnya Malaysia telah mengatasi Korea Selatan sebagai pasaran Asia Pasifik yang mencatatkan penurunan terbesar dalam unjuran keuntungan tahun ini.

“Tinjauan jangka pendek bagi ekuiti Malaysia akan kekal sukar kerana kerajaan baharu yang cuba untuk mengatasi isu-isu kewa­ngan dengan lebih mendalam,” kata Christopher Wong, Pengurus Pelaburan Kanan Standard Life Investments di Singapura.

“Bagaimanapun, saya men­jang­kakan keadaan akan bertambah baik dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Telekom Malaysia Bhd. (TM) mencatatkan kejatuhan terbesar hari ini, menyusut sehingga 12 peratus ekoran kebimba­ngan terhadap potongan harga perkhid­matan jalur lebar.

Sementara itu, Penganalisis Areca Capital, Danny Wong turut berharap keadaan pasaran saham Malaysia kembali pulih pada masa akan datang.

Pihaknya mengunjurkan pe­ningkatan pendapatan pada separuh kedua tahun ini, di sebalik dasar baharu berkaitan pelaburan asing dan perbelanjaan kerajaan.

Pelabur asing telah menarik keluar sejumlah AS$880 juta (RM3.5 bilion) daripada ekuiti tempatan bulan ini selepas membawa keluar AS$1.4 bilion (RM5.62 bilion) pada Mei, iaitu ketika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum dan menumbangkan Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Bursa Malaysia terus susut pada penutup dagangan berikutan aktiviti jualan yang berterusan akibat ketidaktentuan serta risiko membabitkan perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China selain faktor harga minyak mentah yang rendah.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut di bawah paras kritikal 1,700 mata apabila kehilangan 18.47 mata kepada 1,691.28 mata.

Ini merupakan paras terendah yang pernah dicatatkan sejak 8 Februari 2017 apabila FBM KLCI ditutup pada 1,688.50 mata.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.69 mata lebih tinggi kepada 1,710.44 mata berbanding 1,709.75 mata sewaktu ditutup pada Rabu dan berlegar dalam lingkungan 1,689.0 mata dan 1,710.71 mata sepanjang sesi dagangan awal.

Indeks FBM KLCI hari ini ditutup pada paras 1,692.32 mata, turun sebanyak 17.43 mata berbanding 1,715.36 mata semalam.

Ringgit juga merosot dan ditutup pada kadar RM4.0165 berbanding dolar Amerika selepas ditutup pada kadar RM4.0020 semalam.- UTUSAN ONLINE